Kes Nurin: Bapa kesal kematian anak dikaitkan along

Oleh Norliza Wasilan


MASIH BERSEDIH: Jazimin bersama anaknya Nurin Jaslina (kiri) dan anak saudara, Roslina Yaakup dan Norzulaila Zulkifli di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, semalam.

Jazimin mahu ambil tindakan undang-undang demi maruah

KUALA LUMPUR: Bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil, kesal dengan pihak yang mengaitkan kematian tragik anaknya dengan masalah yang dikaitkan dengan along.

Kesal dengan laporan tidak bertanggungjawab sehingga mendatangkan keaiban menyebabkan beliau mahu mengambil tindakan undang-undang demi menjaga nama baik dan maruah keluarganya yang terjejas.

"Saya baru saja mengebumikan anak saya dan mereka berani membuat spekulasi bahawa saya tahu siapa yang bunuh Nurin dan kenapa.

"Sekarang keluarga saya sedang mengumpul semua artikel membabitkan Nurin sejak berita kehilangannya disiarkan dalam akhbar dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mencemarkan maruah keluarga saya," katanya selepas menziarahi pusara anaknya di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Gombak, di sini semalam.

Jazimin bersama anak ketiganya, Nurin Jazrina, 6, tiba di pusara Nurin jam 10.30 pagi tanpa ditemani isterinya, Norazian Bistaman, 35, yang masih sedih dan terkejut dengan tragedi itu.

Nurin, pelajar Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu ketika keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen Satu, Wangsa Maju, kira-kira jam 8 malam untuk membeli penyepit rambut.

Jazimin menyifatkan laporan media mengaitkan tragedi berpunca daripadanya sebagai tidak bertanggungjawab dan cuai dan menegaskan beliau tidak mempunyai kaitan langsung dengan along.

"Saya mungkin seorang pemandu teksi tetapi kami sekeluarga tidak mempunyai masalah kewangan, malah kawan-kawan juga tahu latar belakang keluarga saya. Saya sendiri yang memilih mahu menjadi pemandu teksi supaya lebih mudah mengambil cuti apabila Nurin sakit.

"Mereka langsung tidak memikirkan mengenai apa yang ditulis dan apa yang mereka katakan. Selain itu, mereka tidak memikirkan kesan laporan itu kepada keluarga saya dan tidak pernah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan," katanya.

Pasangan suami isteri itu mempunyai tiga lagi anak perempuan iaitu, Nurin Jazshira, 9, Nurin Jazrina, 6, dan Nurin Jazlisa, setahun setengah.

0 comments: