Pinda semula Akta Perlindungan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001 perlu dipinda bagi mewajibkan setiap ibu bapa atau penjaga menjadi pengiring kepada kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun ketika berada di tempat awam.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, ia bagi memastikan kanak-kanak tidak diculik oleh mereka yang tidak dikenali untuk dijadikan peminta sedekah atau untuk sebarang tujuan tidak baik.

‘‘Akta sedia ada perlu dipinda secara khusus bagi memastikan ibu bapa lebih dipertanggungjawabkan jika berlaku kes-kes sedemikian.

‘‘Kanak-kanak di bawah 12 tahun masih memerlukan penjagaan ibu bapa sepanjang masa kerana mereka sentiasa terdedah kepada ancaman,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya pindaan itu, ia diharap dapat membendung kes yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, daripada berulang kepada kanak-kanak lain yang tidak berdosa.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen Satu, Wangsa Maju pada 20 Ogos lalu.

Bagaimanapun mayat Nurin Jazlin akhirnya ditemui di dalam beg sukan di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya Isnin lalu dalam keadaan menyayatkan hati.

1 comments:

Syasya Fatini said...

Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001? Ada ke? Rasanya akta tu tak wujud. Yang ada hanyalah Akta Kanak-Kanak 2001...