BPR dakwa 3 lagi -- Membuat perakuan palsu pembelian kamera digital IKBN

Oleh Saiful Haizan Hasam


Dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan menutup muka mereka ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Seremban, semalam. – Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN 24 Okt. – Dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan seorang pengurus projek sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat dan bersubahat membuat perakuan palsu berhubung pembelian kamera digital untuk kegunaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong, Rembau.

Mereka bertiga yang dituduh melakukan kesalahan itu pada 17 Februari 2003 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sabariah Atan.

Bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan dan Kemahiran KBS, Kamaruzaman Md. Ali, 38, dituduh memperakui kamera digital jenis Kodak DC4800 USA yang dibeli telah berfungsi dengan baik mengikut spesifikasi sedangkan ia adalah sebaliknya.

Menurut spesifikasi pembelian asal, kamera tersebut perlu dibekalkan bersama perisian Windows 2000 dan sebuah komputer peribadi yang memenuhi keperluan minimum sistem seperti sekurang-kurangnya mempunyai memori 128 MB RAM, pemacu CD ROM, port USB dan monitor berwarna.

Kamaruzaman yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah kini bertugas sebagai Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Sabah.

Turut dituduh melakukan kesalahan itu ialah bekas Ketua Sekolah Binaan IKBN Chembong, Wan Asmawi Wan Shariff, 33, yang kini bertugas sebagai Ketua Unit Latihan IKBN Temerloh, Pahang.

Dia yang ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Temerloh semalam, tidak diwakili oleh peguam.

Sementara itu, Pengurus Projek Kosijaya Didactis Sdn. Bhd., Loh Siu Le, 38, yang diwakili peguam Ragunath Kesavan pula dituduh bersubahat dengan dua pegawai KBS itu untuk membuat perakuan palsu dan seterusnya memperakui Sijil Penerimaan Muktamad bagi pihak syarikatnya.

Pendakwaan terhadap mereka bertiga dibuat di bawah Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda maksimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana satu yang lebih tinggi manakala pertuduhan terhadap Siu Le turut dibacakan bersama Seksyen 20(1)(c) akta yang sama.

Sabariah mengenakan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan kes itu disebut semula pada 12 Mac 2008.

Semalam, Kamaruzaman dan Siu Le masing-masing mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tuduhan mengemukakan dokumen mengandungi tuntutan palsu berhubung pembelian kamera digital jenis yang sama untuk IKBN Bachok.

0 comments: