KEPALA BATAS 15 Okt — Ribuan rakyat mengunjungi majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah di Dewan Milenium, di sini hari ini.
Rumah terbuka yang bermula pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 5 petang ini, dihadiri rakyat Malaysia pelbagai kaum dan lapisan masyarakat termasuk pemimpin negara dan negeri.
Rakyat Malaysia terutamanya yang berada di bahagian utara tanah air, mengambil kesempatan sambutan hari ketiga Aidilfitri bertemu Abdullah dan isteri pada majlis rumah terbuka itu.
Antara orang kenamaan yang menghadiri rumah terbuka itu adalah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, timbalannya Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah.
Turut hadir adalah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Suasana meriah dan gembira jelas terserlah di wajah kalangan pengunjung apabila mereka berpeluang bersalaman dan beramah mesra dengan Perdana Menteri dan isteri, manakala kanak-kanak riang menerima duit raya.
Selain itu, mereka turut menikmati pelbagai juadah Aidilfitri di 168 gerai makanan dan minuman yang disediakan pada majlis itu.
Abdullah turut meluangkan masa melawat pameran keselamatan yang diadakan di perkarangan dewan itu manakala para pengunjung dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan kebudayaan.-Bernama
0 comments:
Post a Comment