Mon | Oct 15, 07 | 2:23:27 pm MYT
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Hrkh) - Pasti seluruh umat Islam bergembira menyambut kehadiran Aidilfitri, setelah sebulan mereka melalui Intensif ibadat puasa yang diprogramkan oleh Allah untuk melahirkan insan yang bertaqwa.
"Semoga Aidil Fitri tahun ini , terus menjadi inspirasi yang memotivasikan perjuangan kita agar ia digerakkan dengan lebih gigih memburu kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah," ujar Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi ketika dihubungi Harakahdaily.
Aidil Fitri Pengubat Duka
Biarpun dunia kini dirundung malang dengan pelbagai peristiwa pembantaian dan penyembelihan kuffar ke atas ummat Islam, Nasrudin percaya kehadiran Aidil Fitri akan menjadi pengubat duka lara yang sedang dialami oleh umat Islam seluruh dunia hari ini.
Namun begitu, ia hanya akan berjaya sekiranya diraikan dengan penuh penghayatan dan menepati objektif sambutan yang telah ditetapkan syara'.
"Cuma malang apabila Aidilfitri di negara kita tercemar dengan pelbagai aktiviti maksiat dan hiburan keterlaluan yang meleka dan melalaikan ummat. Bukan sahaja mereka tidak mampu menghayati nilai Aidilfitri dan penderitaan yang sedang dihadapi oleh sebahagian ummat Islam yang lain, bahkan mereka tidak mampu untuk membesarkan Allah dengan kalimah takbir yang dilafazkan pada pagi Aidil Fitri," jelasnya.
Menceritakan memori yang pernah dilalui pada tahun-tahun 70-an hingga 80-an, Nasrudin berkata sambutan Aidilfitri masih meriah dan hidup dengan semangat ukhuwwah dan ziarah sambil diiringi gema takbir yang sungguh syahdu dan membangkitkan keinsafan.
"Suasana meriah penuh seri dengan keriuhan menyambut tetamu yang mengunjung dan situasi itu menjadi lebih bermakna apabila mereka saling bertukar–tukar hadiah dan juadah raya. Hiburan Aidilfitri kala itu ialah keriangan kanak–kanak yang sibuk memperagakan pakaian baru," ujarnya.
Jelas Nasrudin, hubungan kekeluargaan juga menjadi kian erat dan mesra, sambil menggambarkan budaya bersalaman dengan ibu dan ayah sebagai perkara yang pertama Sejurus selesai solat Aidilfitri.
Nostalgia Aidilfitri
Namun beliau kesal kerana segalanya kini menjadi nostalgia kerana apa yang diceritakan tersebut terlalu sukar untuk diteruskan sehingga kini.
Tegasnya, apa yang berlaku dewasa kini, hari–hari Aidilfitri hanya dipenuhi dengan aktiviti menonton rancangan televisyen yang telah diwar-warkan sejak awal Ramadan lagi.
Apatah lagi aktiviti ziarah dan ukhuwwah kian berkurangan, malah ahli keluarga turut renggang lantaran masing–masing sibuk dengan agenda hiburan masing–masing.
"Anak–anak berasa malu untuk merangkul tubuh ibu tua mereka guna memohon ampun di pagi Aidilfitri. Malah sebahagian mereka hanya leka dengan permainan game dan konsert – konsert Aidilfitri yang ditayang secara langsung mahupun siaran ulangan," jelasnya.
Kembalikan Nilai Aidilfitri
"Saya mengharapkan agar kita kembali menghidupkan Aidilfitri dengan sistem nilainya yang asal dan tulen. Bermula dengan penghayatan terhadap kalimah Takbir yang dilaung menggunakan kalimah membesarkan Allah dan melahirkan ketundukan serta kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah hinggalah kepada pengisytiharan kehancuran tentera Ahzab oleh Kekuasaan Allah Azza wa Jalla," ujarnya dalam nada pesanan.
Beliau menyarankan agar Aidilfitri akan memberi kesempatan untuk mempertautkan kembali kekuatan ummah yang kian retak tanpa mengira batas perbedaan politik dan fahaman.
Nasrudin mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam Aidilfitri buat ibu dan ayah beliau yang kini berada di Kota Suci Makkah al Mukarramah, Isteri serta anak–anak yang kini genap 28 hari ditinggalkan sepanjang Ramadhan (kerana tahun ini sebagaimana rutin, beliau melakukan Kembara Ihya' Ramadhan ke seluruh Negara) dan ucapan jua buat adik–adik tersayang, sahabat seperjuangan, kaum keluarga, rakan taulan, jiran tetangga serta seluruh muslimin dan muslimat.
"Ucapan khas saya lampirkan buat Ayahanda Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan seluruh saf Pimpinan PAS Pusat, Ayahanda Tuan Guru Hj. Hashim Pondok Pasir Tumboh yang banyak mendidik diri ini sewaktu menjadi pelajar di sana, Salahuddin Ayub selaku Ketua DPP Pusat dan mantan Ketua DPP Pusat Hj. Mahfuz yang kedua–dua mereka adalah antara mentor saya dalam perjuangan ini," ujarnya. /tajdid
0 comments:
Post a Comment