Majlis agama negeri pantau ajaran al-Arqam

PUTRAJAYA: Semua pihak berkuasa agama atau majlis agama negeri perlu terus memantau percubaan pihak tertentu menyampaikan atau menghidupkan semula ajaran al-Arqam di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata pihak berkuasa agama negeri mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan jika mendapati ada percubaan menghidupkan al-Arqam.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah sebuah agensi pusat yang menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran Islam di Malaysia tetapi kuasa adalah di bawah majlis agama Islam negeri.


"Bagaimanapun, jangan anggap Jakim tidak mempunyai kuasa langsung tetapi Jakim boleh menasihati atau mempengaruhi negeri atau pihak berkuasa agama dalam mengambil tindakan," katanya.

Akhir bulan lalu, Berita Harian melaporkan pendedahan bekas Penasihat Undang-undang al-Arqam, Zabidi Mohamed, bahawa tindakan kumpulan itu menyebarkan propaganda mahu menjatuhkan kerajaan sekarang menerusi SMS adalah untuk mencabar kerajaan sejauh mana boleh bertindak terhadap mereka.

Zabidi dilaporkan berkata, ini kerana mereka berpendapat kerajaan tidak mampu bertindak terhadap kumpulan itu yang kini berselindung di sebalik kegiatan perniagaan Rufaqa.

Beliau dilaporkan berkata, propaganda itu juga sebenarnya cuba menarik perhatian bekas ahlinya untuk menyatakan al-Arqam walaupun diharamkan tetapi masih wujud supaya kembali semula ke pangkuannya.

Zabidi dilaporkan berkata, bukti al-Arqam berselindung di sebalik perniagaan Rufaqa tidak sukar kerana ada dinyatakan dalam buku tulisan isteri bekas pemimpinnya, Ashaari Muhammad, Khatijah Am, bertajuk Pemimpin Paling Ajaib Di Zamannya.

Dr Abdullah berkata, selain majlis agama negeri, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) juga mempunyai kuasa termasuk menggunakan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika mendapati kegiatan kumpulan menyeleweng mengancam keselamatan negara.

0 comments: