Pemberian duit raya dituntut Islam

Ustaz Zainudin Hashim
Sun | Oct 14, 07 | 5:11:53 pm MYT

Umat Islam digalak dan dianjurkan melahirkan kegirangan dan kegembiraan tatkala ketibaan hari raya, sama ada dengan berpakaian serba baru atau menghiasi rumah dengan pelbagai perhiasan sederhana yang kelihatan menyerlahkan lagi suasana hari raya.

Hari raya adalah saat yang amat bahagia dan gembira khususnya bagi kanak-kanak.

Walaupun terdapat budaya masyarakat Cina yang lebih dikenali dengan pemberian “Ang Pau” pada sambutan tahun baru mereka, namun ia tidak menjejaskan akidah atau pegangan umat Islam dengan pemberian duit raya kepada golongan kanak-kanak. Ia satu amalan yang tidak ditegah Islam apatah lagi jika dibuat dengan penuh kesederhanaan dan tidak berlebih-lebihan mahu pun menunjuk-nunjuk.

Hanya pada hari raya sajalah kebanyakan kanak-kanak diberikan wang bergantung kepada kemampuan tuan rumah.

Apapun budaya memberi duit raya bukanlah satu pendekatan yang menyalahi tuntutan syarak. Amalan ini dibolehkan kerana dianggap sebagai satu sifat terpuji kerana bersikap dermawan. Sehubungan itu, baginda Rasulullah s.a.w. ada menyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT Maha Dermawan dan Pemurah dan suka kepada orang yang bersifat pemurah dan dermawan, Dia juga suka kepada ketinggian akhlak yang luhur dan membenci sifat kikir." (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dengan darjat hadis yang sahih)

Tindakan positif dengan memberi duit raya tidak ada kena mengena dengan ajaran agama lain selain Islam, malah Islam telah memperkenalkannya sejak kedatangan nabi Muhammad s.a.w. yang sentiasa menganjurkan akhlak dan sifat terpuji.

Justeru, memberi duit raya kepada golongan kanak-kanak khusus pada kedua hari raya adalah amalan mulia yang diperakui oleh Islam sepertimana yang disebut dalam hadis nabi di atas. Bagi kanak-kanak yang menerimanya sentiasa bersyukur dan berdoa agar golongan pemberi dikurniakan limpahan rezeki yang baik pada masa-masa akan datang. Wallahu ‘Alam./tajdid

0 comments: