TPM: Siasat kemalangan feri

Oleh Shamsiah Zulkafli dan Aizawati Ahmad

PEKAN 14 Okt. – Kerajaan akan menjalankan siasatan penuh berhubung kejadian feri terbakar ketika dalam perjalanan dari Jeti Genting, Tioman ke Jeti Mersing di Mersing, Johor semalam yang mengorbankan empat nyawa dan mencederakan lima yang lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan itu perlu dilakukan segera kerana ia melibatkan kepentingan awam lebih-lebih lagi kejadian tersebut membabitkan nyawa orang ramai.

‘‘Dalam hal ini, pertamanya kita mesti tahu apa punca kemalangan itu; keduanya, sama ada pengendali feri itu sudah cukup mematuhi piawaian keselamatan yang sepatutnya. Yang ketiga, kita juga perlu tahu apakah langkah-langkah keselamatan yang cuba diambil ketika kejadian,” katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Dataran Pekan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kemalangan feri di Mersing yang memaksa penumpang-penumpang feri tersebut terjun menyelamatkan diri sehingga empat orang daripada mereka maut sementara lima lagi cedera.

Najib yang sedih dengan kejadian itu berkata, siasatan juga akan menentukan sama ada kakitangan feri tersebut berusaha menyelamatkan penumpang-penumpang.

‘‘Kita tidak harus memandang ringan terhadap perkara-perkara begini. Banyak soalan yang perlu dijawab oleh pihak-pihak tertentu sepanjang siasatan nanti,” ujarnya.

Sementara itu, di Johor Bahru, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mengarahkan Jabatan Laut agar membuat pemeriksaan ke atas semua feri dan bot penumpang di Mersing bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.

“Semua feri dan bot perlu berada dalam keadaan baik sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya memandang serius kejadian itu.

Abdul Ghani juga mengingatkan para pengusaha feri atau bot agar sentiasa mengutamakan keselamatan para penumpang dengan membuat pemeriksaan sebelum memulakan perjalanan mereka.

“Feri pula perlu didaftar dengan Jabatan Laut Mersing sebagai syarat ia boleh beroperasi dengan selamat,” katanya.

Di Mersing, Bernama melaporkan pengusaha syarikat perkhidmatan feri Seagull Express akan membantu urusan pengkebumian mangsa tragedi kebakaran feri yang meragut empat nyawa dan empat lagi cedera berhampiran Pulau Tioman semalam.

Salah seorang daripada enam rakan kongsi syarikat itu, yang enggan dikenali, hari ini berkata pihaknya akan menanggung kos pengebumian itu bagi mengurangkan kesengsaraan keluarga mangsa.

Selain itu, syarikat itu juga menyediakan penginapan dan makanan bagi 20 mangsa yang terselamat itu di Hotel Seri Malaysia di sini

0 comments: