Saat cemas tragedi feri -- * Tiada permit bawa penumpang * 3 mangsa masih hilang

Oleh SOPI SAMAILE


TRAGEDI FERI... Api marak membakar feri yang membawa 98 penumpang ketika dalam perjalanan dari Pulau Tioman ke Jeti Mersing, kelmarin.

MERSING 14 Okt. – Kebakaran feri Seagull Express berhampiran perairan Pulau Tioman tengah hari semalam yang mengorbankan empat penumpang mencetuskan keadaan kelam-kabut apabila kesemua 103 penumpang dan tiga krew terjun ke laut menyelamatkan diri sebaik sahaja enjin feri itu mengeluarkan asap tebal.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, ramai penumpang terpaksa terjun ke laut walaupun mereka tidak tahu berenang.

Lebih malang lagi, mereka tidak memakai jaket keselamatan kerana jumlah jaket keselamatan yang disediakan dalam feri itu tidak mencukupi.

Bimbangkan keselamatan diri, mereka tiada pilihan selain terjun dan berpaut sesama sendiri di tengah laut kira-kira 11 kilometer dari Pulau Tioman.

Salah seorang penumpang, Chong Zi Wei, 17, menceritakan keadaan di dalam feri itu apabila enjinnya mula terbakar.

“Saya dan keluarga duduk di bahagian dalam feri apabila dikejutkan dengan jeritan penumpang lain yang memberitahu ada kebakaran berlaku di atas feri.

“Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata. Ketika penumpang itu menjerit memberitahu ada kebakaran, asap tebal sudah menyelubungi setiap ruang feri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Zi Wei berkata: “Ayah saya menjerit suruh saya dan keluarga keluar serta terjun ke laut walaupun kami tidak memakai jaket keselamatan sebab tak cukup.

“Saya nampak orang lain pun tak ada jaket. Mereka yang ada jaket pun tak sempat pakai sebab kejadian berlaku begitu pantas.”

Selepas terjun ke laut, remaja itu terus berpaut pada badan seorang pak ciknya yang sempat memakai jaket keselamatan.

Selepas membantu menyelamatkan Zi Wei dan adiknya Chong Wing Yi, 7, bapa mereka, Choong Yoong Kim, 41, tiba-tiba hilang.

Yoong Kim merupakan salah seorang daripada tiga penumpang feri itu yang masih belum ditemui selepas 36 jam tragedi itu berlaku.

Beberapa penumpang lain mendakwa feri tersebut sepatutnya hanya membawa tidak lebih 75 penumpang tetapi untuk pelayaran semalam, ia mengangkut 106 orang termasuk tiga krew.

Mereka juga memberitahu, krew feri itu telah bertindak menyelamatkan diri sendiri terlebih dahulu sebaik sahaja menyedari berlaku kebakaran.

“Mereka bukan sahaja tidak memaklumkan mengenai insiden itu, malah tidak membantu menyelamatkan penumpang,” kata seorang penumpang yang enggan dikenali.

Dalam kejadian kebakaran feri itu, empat orang telah disahkan terbunuh manakala lima lagi cedera. Tiga orang penumpang lain dilaporkan masih hilang.

Empat yang terbunuh dikenali sebagai Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur, Hong See Tiew, 53, Teh Siew Lian, 52, dari Klang, Selangor dan Tee Moi @ Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.

Para penumpang yang terselamat bernasib baik kerana ketika itu sebuah feri lain, Blue Water, berada berhampiran tempat kejadian dan petugasnya berjaya menyelamatkan lebih 50 penumpang Seagull Express dengan mencampakkan tali dan jaket-jaket keselamatan.

Sehingga lewat petang ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketiga-tiga penumpang yang hilang masih diteruskan oleh pihak berkuasa maritim.

Siasatan Jabatan Laut mendapati feri Seagull Express beroperasi secara haram kerana tidak memiliki sijil mengangkut penumpang yang sah daripada jabatan itu. Sijilnya tamat tempoh pada Disember tahun lalu.

Ibu saudara Zi Wei, Wong Soo Mooi, 49, yang turut terselamat pula menceritakan pengalamannya kepada Utusan Malaysia:

“Saya memang tahu berenang, jadi saya sempat selamatkan seorang kanak-kanak berhampiran saya yang terapung di dalam air.

“Pada masa itu, saya juga cuba bantu seorang mangsa di sebelah saya tetapi saya dapati dia telah pun mati lemas. Bagaimanapun, saya tetap memegangnya sehingga bantuan sampai.

“Keadaan begitu kelam kabut. Setiap orang berusaha menyelamatkan diri sendiri. Saya tidak tahu berapa lama saya berada di dalam air sehingga diselamatkan.”

Sementara itu, tinjauan di kaunter tiket syarikat feri terbabit di Jeti Mersing mendapati ia masih beroperasi dan beberapa kakitangan syarikat itu turut berada di kaunter tersebut.

Bagaimanapun, syarikat itu menghentikan buat sementara penjualan tiket feri walaupun kaunter dibuka.

Salah seorang pegawai feri Seagull Express menolak dakwaan bahawa syarikatnya menjalankan operasi secara haram.

Katanya, syarikat itu masih mempunyai lesen untuk beroperasi.

Beliau yang enggan dikenali memberitahu, feri yang terbakar itu sebenarnya masih boleh beroperasi dengan baik.

Beliau mendakwa kebakaran tersebut mungkin berpunca daripada masalah pendawaian. Ketika kejadian feri itu dalam pelayaran dari Mersing ke Pulau Tioman.

0 comments: