KUALA LUMPUR: Keunikan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin mendapat pujian pengunjung tempatan dan asing yang menyifatkannya sebagai tersendiri dan menyatukan pelbagai kaum.
Mereka beranggapan rumah terbuka berkenaan cukup meriah dengan hidangan makanan dari pelbagai kaum di negara ini disamping cara sambutan alu-aluan yang cukup istimewa oleh jemaah menteri kabinet diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi.
Pelajar Doktor Falsafah di Universiti Putra Malaysia yang berasal dari Iran, Samayeh Varzandeh, 25, berkata keistimewaan ketara yang dapat dilihat adalah dari segi pengunjungnya kerana walaupun ia diraikan masyarakat Islam tetapi mereka dari bangsa lain turut hadir memeriahkannya.
"Saya tidak sangka ia akan dihadiri kaum lain dan ia adalah pengalaman menarik melihat pelbagai lapisan kaum dapat duduk semeja menikmati hidangan dan bergembira di hari mulia ini.
"Keadaan seperti ini mungkin tidak dapat dilihat di negara lain dan negara saya sendiri yang lebih suka meraikan di rumah sendiri atau puak masing-masing. Inilah tarikan utama dapat saya lihat," katanya yang kali pertama menyambut Aidilfitri di Malaysia.
Beliau yang ditemui di rumah terbuka itu kelmarin, berkata makanan paling digemarinya adalah Lemang yang disifatkan sangat sedap walaupun rendang sedikit pedas.
Pelancong dari Australia, Paul Smith, berkata beliau sangat teruja melihat keadaan persekitaran pada majlis rumah terbuka berkenaan kerana ia berlainan berbanding perayaan Krismas di negaranya.
"Menariknya di negara anda, semua kaum meraikannya berbanding di negara kami ketika Krismas yang hanya disambut dengan keluarga terdekat dan di rumah masing-masing saja.
"Saya tidak sabar untuk menceritakan pengalaman ini kepada teman dan keluarga di Australia," katanya yang mendapat tahu tentang rumah terbuka itu melalui internet.
Suri rumah, Maziah Abdul Razak, 31, berkata beliau sekeluarga memang menantikan peluang untuk menghadiri rumah terbuka itu setiap tahun.
"Kami sekeluarga anak jati Kuala Lumpur dan majlis rumah terbuka ini adalah peluang bagi kami untuk merasai pengalaman beraya bersama pemimpin dan masyarakat berbilang kaum," katanya.
Seorang ejen hartanah, Dass Arockyadassan, 38, berkata majlis rumah terbuka yang dianjurkan adalah peluang untuk merasai masakan tradisional Melayu yang digemari keluarganya.
"Kami sangat menyukai masakan nasi himpit dan kuah kacang. Selain itu, acara ini adalah peluang untuk membawa anak menyaksikan sendiri keharmonian pelbagai kaum di Malaysia," katanya.
Peniaga, Lim Kok Sai, 48, berkata majlis rumah terbuka itu hanya dianjurkan setahun sekali dan ia adalah peluang bagi mereka merasai kemeriahan hari raya.
"Selepas saban tahun menyaksikan kemeriahan majlis ini dalam media, kami memutuskan untuk datang sendiri untuk merasai kemeriahan seperti yang selalu kami saksikan," katanya.
0 comments:
Post a Comment