Oleh Khairunnisa Kamarudin
MENYAYAT HATI: Roslinawati sedih atas kematian dua anak dan suaminya yang disyaki membunuh diri, di pangsapuri Taman Desa Ria, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. |
Mangsa minum racun tinggal wang kos pengebumian diri, 2 anak
PETALING JAYA: "Sila gunakan duit ini untuk mengebumikan kami bertiga," itulah nota bersama wang tunai RM380 yang ditinggalkan Shamsul Hadi Yaakob, 32, yang ditemui mati terminum racun bersama dua anaknya di pangsapuri Taman Desa Ria, Jalan Klang Lama di sini, kelmarin.
Mayat penyelenggara stor itu bersama anaknya, Nor Malissa Nasuha, tujuh, dan Muhammad Fariz Hilmi, dua, ditemui di ruang tamu rumah berkenaan pada jam 1 tengah hari 1 Syawal lalu.
Nota itu yang turut ditulis 'Maafkan abang ke atas apa yang berlaku' ditemui berdekatan jenazahnya. Turut ditemui wang tunai RM380 dalam dompetnya, nombor akaun bank dengan baki RM400 dan sepasang baju Melayu baru di atas katil.
Shamsul dipercayai mencampurkan racun dengan air sirap dan memberi kedua-dua anaknya minum sebelum beliau sendiri meminumnya. Mayat tiga beranak itu ditemui bapa Shamsul yang datang memeriksa selepas anaknya tidak menjawab panggilan telefonnya, sejak malam Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad, ketika dihubungi berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada masalah keluarga.
"Kita masih tunggu keputusan bedah siasat dan tiada unsur jenayah di dalam kes ini," katanya.
Polis turut menemui satu botol racun di tempat kejadian.
Difahamkan, isteri mangsa meninggalkan rumah kira-kira seminggu lalu berikutan perselisihan faham antara mereka.
Siti Rozlinawati Sudar, 27, ketika ditemui di rumah itu semalam, bagaimanapun enggan bercakap.
Ibu Shamsul yang hanya dikenali sebagai Azizah berkata, anak lelakinya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini.
"Kali terakhir saya bertemu arwah, Khamis lalu ketika datang mengambil kedua-dua anaknya. Ketika itu saya nampak dia seperti bermasalah.
"Apabila ditanya, Shamsul cuma cakap semua masalah akan terjawab pada Aidilfitri ini, tapi saya tidak sangka dia akan bertindak untuk bunuh diri bersama cucu saya. "Apa yang lebih menyedihkan arwah meninggalkan wang untuk kami mengebumikan mereka bertiga," katanya sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, semalam.
Azizah berkata, setiap pagi arwah menghantar kedua-dua anaknya ke rumah beliau di Taman Medan dan mengambil mereka selepas pulang dari kerja pada sebelah petang.
"Jumaat lalu, Shamsul tidak menghantar anaknya kerana dia sudah bercuti tapi apabila suami saya menelefon, panggilan tidak berjawab sehingga malam. Saya ingatkan dia akan datang ke rumah untuk menyambut Aidilfitri tapi sehingga pagi raya (Sabtu) masih tiada jawapan atau panggilan.
"Kami terus ke rumahnya jam 1 petang dan mendapati pintu rumah berkunci dan tiada sesiapa yang menjawab. Kami kemudian memecahkan pintu dan menemui Shamsul bersama dua cucu saya terbaring di ruang tamu," katanya.
Jenazah tiga beranak itu dituntut jam 2 petang dan dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Bukit Tandang di sini.
0 comments:
Post a Comment