Oleh Misiah Taib, Hassan Omar, Hussain Said, Khairul Anuar Abdul Samad, Matzidi Dris, Srihanasham Noordin, Nazura Ngah, Adha Ghazali, Siti Fatimah Mohamed Anwar dan Mohammad Ishak
Ahli keluarga saling bermaafan, kunjungi tanah perkuburan
KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara menyambut 1 Syawal dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan, kelmarin dengan bermaaf-maafan dan kunjung-mengunjung terus menjadi tradisi bagi merapatkan silaturahim sesama umat.
Selain itu, sambutan Aidilfitri kali ini juga memberi makna tersendiri dan sesuatu yang amat bersejarah kerana keseluruhan rakyat meraikan kejayaan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha apabila pesawat Soyuz TMA II bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) jam 10.50 malam Jumaat lalu, di waktu Syawal mula memunculkan diri.
Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang juga umat Islam pertama menyambut Aidilfitri di angkasa lepas, menyambutnya bersama dua lagi krew, komander penerbangan, Dr Peggy Whitson dan jurutera penerbangan Russia, Yuri Malenchenko selain krew sedia ada di ISS iaitu angkasawan Fyodor Yurchikhin, Oleg Kotov serta Clayton Anderson.
Bagi seluruh rakyat, kedatangan pagi Syawal seperti biasa dimulakan dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri sebelum menziarahi pusara ahli keluarga dan seterusnya mengunjungi rumah saudara mara dan rakan taulan, selain memeriahkan upacara rumah terbuka anjuran pemimpin negara, walaupun sambutan memasuki hari kedua perayaan.
Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan lebih 5,000 umat Islam di Masjid Negara.
Turut sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa menteri Kabinet juga duta serta diplomat asing beragama Islam. Solat sunat bermula 8.30 pagi itu diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Sheikh Ismail Mohammad.
Terdahulu, Abdullah menziarahi makam arwah isterinya, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood di Tanah Perkuburan Putrajaya di Presint 20. Abdullah dan keluarga tiba di tanah perkuburan pada jam 7.05 pagi dan menghabiskan 15 minit di situ.
Kemudian, Abdullah dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah mengadap Seri Paduka Baginda serta Raja Permaisuri Agong di Istana Negara bagi mengucapkan salam Aidilfitri.
Di KUALA KANGSAR, Sultan Perak Sultan Azlan Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat jelata di Masjid Ubudiah yang turut disertai Raja Muda Perak, Dr Raja Nazrin Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; kerabat diraja dan Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.
Di KOTA BHARU, Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra berangkat menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Muhamaddi, Kota Bharu sebelum berkenan bersama masyarakat pelbagai bangsa di Istana Balai Besar, Kota Bharu bagi menyambut lebaran.
Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob mengetuai umat Islam mengadakan rumah terbuka dengan menyambut kunjungan puluhan ribu rakyat pelbagai kaum di Istana Melaka, Bukit Beruang. Khalil dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim kemudian mengadakan rumah terbuka antara jam 9.30 pagi hingga 2 petang.
Di KUALA PILAH, Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyertai 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah.
Di KUCHING, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri Toh Puan Norkiah mengadakan rumah terbuka bagi mengalu-alukan kunjungan penduduk negeri ini di Dewan Santapan, Astana Negeri, di sini, bermula jam 10 pagi hingga 2 petang. Rumah terbuka Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Laila Taib berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Di SHAH ALAM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan sembahyang Aidilfitri bersama 10,000 umat Islam, termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan anggota exco kerajaan negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Di SABAH, Yang Di-pertua Negeri, Tun Ahmadshah menyertai lebih 5,000 umat Islam bersembahyang di Masjid Negeri, Sembulan yang kemudian mengadakan rumah terbuka di Istana Negeri.
Di JOHOR BAHRU, Sultan Johor, Sultan Iskandar berkenan menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Sultan Abu Bakar bersama 2,000 rakyat juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Mufti Johor, Datuk Noh Gadut serta barisan Exco dan pegawai kerajaan negeri.
0 comments:
Post a Comment