Seagull Express tiada permit

Oleh Ahmad Ghazali Musa, Mohd Zin Ali dan Sahlina Sahkirin


NAHAS TERBARU: Feri Sea Gull Express terbakar dan tenggelam dekat Pulau Tukong Berhala tujuh kilometer dari Pulau Tioman, kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri mahu nahas feri di Pulau Tioman disiasat secara teliti

MERSING: Feri Seagull Express, yang terbakar ketika membawa lebih 100 penumpang dari Mersing ke Pulau Tioman, kelmarin, dan mengorbankan empat pelancong serta tiga lagi masih hilang, didakwa beroperasi secara haram dan tidak memiliki sijil untuk mengangkut penumpang daripada Jabatan Laut.

Pihak berkuasa juga tidak pasti jumlah sebenar penumpang dibawa feri itu ketika kejadian jam 1.30 petang, kerana senarai nama penumpangnya tidak dihantar ke Pejabat Pelabuhan Mersing.


Selain itu, Pejabat Pelabuhan Mersing juga mengakui, feri berkenaan pernah ditahan awal tahun ini kerana melakukan beberapa kesalahan dan masih belum dibenarkan beroperasi semula.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sedih dan kecewa dengan kejadian berkenaan mengarahkan siasatan penuh dijalankan segera.

"Banyak soalan yang perlu dijawab oleh pihak bersabit. Kita mesti tahu pertamanya, apa punca kemalangan; kedua, sama ada bot itu sudah cukup pematuhan keselamatan yang sepatutnya.

"Ketiga, apabila kejadian berlaku, apakah tindakan diambil oleh bot dan krew untuk menyelamatkan penumpang. Ini penting dan perlu disegerakan kerana ia membabitkan kepentingan dan keselamatan orang awam serta mengakibatkan kematian," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Dataran Pekan, Pahang, semalam.

Ketika kebakaran bermula di bahagian enjin, feri itu berada kira-kira tujuh batu nautika atau kira-kira 30 minit perjalanan dari Pulau Tioman. Kebanyakan mangsa yang panik apabila api marak terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.

Empat mangsa yang ditemui mati dipercayai lemas dikenali sebagai Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur; Hong See Tiew, 53 dan Teh Siew Lian, 52, masing-masing dari Klang dan Tee Moi @ Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.

Mereka yang cedera parah ialah Yong Sai Yoon, 26; Lee Jhi Yin, 35; Chong Wing Yi, 7 dan Nga Lee Ling, 14.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Harun Idris, berkata tiga lagi penumpang masih hilang dan dikhuatiri lemas ialah Wong Sing Ling, 37; Chong Yong Kim, 43, kedua-duanya berasal dari Klang dan Wong Han Wan, yang umur dan alamatnya tidak diketahui.

Sementara itu, Jurucakap Pejabat Pelabuhan Mersing juga mengakui feri itu tidak sepatutnya beroperasi untuk membawa penumpang ke Pulau Tioman kerana sijil membawa penumpangnya sudah tamat tempoh akhir tahun lalu dan belum diperbaharui.

"Setiap feri pelancong yang hendak berlepas ke mana-mana pulau perlu menghantar laporan kepada Pejabat Pelabuhan Mersing yang mengandungi butiran seperti nama dan jumlah penumpang.

"Bagaimanapun, feri yang beroperasi secara haram ini tidak melaporkan kepada kami. Oleh itu, kami tidak bertanggungjawab atas kemalangan yang berlaku," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jurucakap itu berkata, mengikut prosedur pihaknya akan memeriksa keadaan feri termasuk sama ada ia mematuhi spesifikasi jika pemilik memohon untuk memperbaharui sijilnya, tetapi dalam kes ini tiada pemeriksaan dan tiada sijil untuk membawa penumpang.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya juga sukar mengambil tindakan terhadap feri yang beroperasi tanpa permit kerana tidak menggunakan jeti Pelabuhan Mersing, sebaliknya jeti persendirian.

Dalam pada itu, mangsa yang selamat juga mendakwa bilangan jaket keselamatan di dalam feri berkenaan tidak mencukupi untuk semua penumpang.

KRONOLOGI: Nahas feri

  • Julai 2000: Seorang budak lelaki berusia 13 tahun maut dan tujuh penumpang termasuk seorang kanak-kanak terselamat selepas feri yang dinaiki karam di Sungai Kerian.
  • Disember 1999: 25 orang cedera termasuk dua parah apabila feri milik Langkawi Ferry Services Sdn Bhd melanggar ponton pengangkut tanah yang ditarik sebuah bot penunda, kira-kira dua batu nautika dari terminal feri Kuala Kedah.
  • Mei 1999: 1,092 penumpang dan anak kapal pelancongan, SS Sun Vista berjaya diselamatkan selepas kapal itu terbakar dan karam di kawasan kira-kira 60 batu nautika ke selatan Pulau Pangkor.
  • Februari 1998: Seorang penumpang cedera, manakala 237 lagi selamat apabila feri Lambaian Satu dan Lada Satu bertembung di Langkawi.
  • Mei 1994: Lapan anak kapal cedera apabila feri yang mereka naiki melanggar ponton di muara Kuala Kedah.

0 comments: