Jaket keselamatan petunjuk kedudukan mangsa hilang dalam nahas feri

KUANTAN 15 Okt — Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) hari ini menemui petunjuk kedudukan tiga penumpang feri yang hilang selepas menemui satu jaket keselamatan dipercayai daripada feri itu.

Penyelaras Misi Mencari dan Menyelamat (SAR), Kapt Maritim Tan Kok Kwee berkata, jaket berwarna oren dengan perkataan Seahawk/ZTDC itu ditemui kira-kira enam batu nautika dari Pulau Tokong Bahara dan Pulau Jahat, pada pukul 2.30 petang tadi.

Berikutan penemuan itu beliau berkata, pihaknya menghubungi syarikat feri berkenaan yang kemudian mengesahkan jaket itu adakah milik mereka.

Katanya, anggota SAR akan cuba mengesan mangsa mengikut arah jaket berkenaan dihanyutkan.

“Dengan penemuan ini, kita boleh mengetahui arah arus laut yang menjadi petunjuk di mana kita boleh menemui mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada jaket keselamatan terbabit dipakai oleh salah seorang daripada mangsa.

Operasi mencari diteruskan bagi mengesan Choong Yoong Kim, 43, Wong Soong Leng, 37, kedua-duanya dari Petaling Jaya dan seorang penyelia kilang dari Klang, Wong Hann Wen, 29.

Sementara itu, Tan turut menafikan laporan sebuah stesen televisyen swasta yang mengatakan seorang daripada tiga mangsa berkenaan telah ditemui.

Katanya, operasi SAR yang turut melibatkan Polis Marin, Unit Udara Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan bomba akan diteruskan hingga malam ini.

Dalam kejadian itu feri Seagull Express yang membawa 106 orang, termasuk 4 krew, terbakar kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Tioman, berdekatan dengan Pulau Tokong Bahara, pada pukul 12.30 tengah hari Hari Raya pertama.

Mereka yang maut ialah Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur, Hong See Tiew, 53, dan Teh Siew Lian, 52, kedua-duanya dari Klang dan Tee Moi @Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.

Manakala mangsa yang cedera pula ialah Ngow Lee Ling dari Batu Pahat, Lee Zsi Winn dari Johor Baharu dan Yong Sait Yoon dari Kuala Lumpur.-Bernama

0 comments: