Mangsa harap bapa hilang ditemui

JOHOR BAHRU 14 Okt. – “Perasaan lega apabila melihat ibu dan tiga adik saya selamat, namun seluruh anggota saya menggeletar dan lemah apabila dimaklumkan bahawa ayah belum ditemui lagi.”

Demikian kata Choong Zi Wei (gambar), 17, salah seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi feri terbakar kira-kira tujuh kilometer dari Pulau Tioman tengah hari semalam.

Beliau memberitahu, kali terakhir dia melihat kelibat ayahnya, Choong Yoong Kim, 43, adalah sewaktu dia memanggil dan mengarahkannya keluar bagi menyelamatkan diri daripada feri yang terbakar itu.

Menurutnya, dia kemudian terjun ke laut tanpa jaket keselamatan dan berenang-renang mengikut pak ciknya yang turut berada di dalam laut dalam usaha menyelamatkan diri.

“Pada masa itu, saya masih sempat menanyakan mengenai ayah, dan pakcik memaklumkan bahawa dia sudah terjun ke laut sejurus saya terjun keluar dari feri berkenaan.

“Namun, apabila sudah selamat berada di atas kapal lain, saya lega apabila melihat ibu dan tiga adik yang lain sudah ada di situ tetapi kelibat ayah tidak ada menyebabkan saya kembali cemas dan ingin menangis,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah di sini hari ini.

Zi Wei adalah antara mangsa yang terselamat dalam kejadian feri yang mereka naiki terbakar kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Tioman tengah hari semalam.

Zi Wei berkata, turut masih hilang adalah pakciknya iaitu Wong Song Leng, 37, dan sehingga pukul 12.30 tengah hari ini beliau dimaklumkan kedua-duanya belum dijumpai.

Dengan penuh harapan, Zi Wei melahirkan keyakinan bahawa kedua-dua ahli keluarganya itu masih hidup dan akan selamat walaupun dihantui perasaan cemas dan takut dalam menanti berita mengenai kedua-dua mangsa yang masih hilang itu.

“Ayah dan pakcik tahu berenang dan saya percaya mereka akan selamat malah ibu saya sedang menunggu mereka di sana (Mersing),” katanya sambil menitiskan air mata dalam melawan perasaan sebaknya itu.

“Apa yang saya tahu, pakcik saya sudah berada di dalam laut dan mengarahkan saya terjun sebelum berpaut kepadanya yang sempat memakai jaket keselamatan.

“Kejadian pada masa itu begitu kelam kabut dan kami yang berada di dalam air masih terasa bahang panas akibat kebakaran feri berkenaan sebelum ada dua atau tiga buah kapal datang menyelamatkan penumpang-penumpang,” ujarnya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Kakak iparnya, Wong Sook Khim, 53, ketika menceritakan tragedi berkenaan, berkata dia sempat melihat Choong memegang anak lelakinya, Choong Wing Yi, 7, di atas feri itu sebelum dia hilang di laut.

0 comments: