Ibu Hui Yi harap mesin bantu pernafasan dapat dibuka segera

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Ibu gadis “jantung mekanikal” Tee Hui Yi yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara (IJN) berharap mesin ventilator yang membantu pernafasan anaknya itu dapat dibuka segera.

Dina Bato Sam Bua, 46, berkata, buat masa sekarang anaknya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin itu kerana mengalami kesukaran untuk bernafas secara normal.

“Bila alat bantuan pernafasan itu akan ditanggalkan bergantung kepada doktor yang merawat dan saya sedar bahawa ia akan dilakukan jika anak saya didapati menunjukkan perkembangan positif tetapi saya sedih melihat keadaan beliau,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, alat bantuan pernafasan itu pernah dibuka pada 9 Okt lepas setelah Hui Yi, 14, menunjukkan tindak balas positif dan bernafas secara normal, namun ia dipasang kembali selepas mengalami kesukaran bernafas.

Hui Yi yang menjalani pembedahan pindahan jantung pada 3 Okt terpaksa menjalani pembedahan kedua pada 5 Okt selepas badannya menolak jantung penderma pertama.-Bernama

0 comments: