PUTRAJAYA 14 Okt. – Telepersidangan antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan angkasawan pertama negara yang dijadualkan malam ini tidak menjadi kerana masalah teknikal. Perdana Menteri menyuarakan rasa dukacitanya kerana tidak dapat berkomunikasi dengan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, yang kini berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), seperti yang dijadualkan pada 8.20 malam.
“Saya dukacita, tadi saya berharap untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Dr. Muszaphar, nampaknya tak ada peluang. Bagaimanapun kalau esok ada peluang saya masih mahu mengucapkan Selamat Hari Raya kepadanya,” kata beliau dalam satu temu bual bersama RTM 1 yang disiarkan secara langsung dari Seri Perdana di sini.
Telepersidangan itu akan diadakan semula pada 16 Oktober, pukul 9.04 malam.
Selain itu, Abdullah berkata, beliau juga ingin bertanya kepada Dr. Muszaphar mengenai perasaan dan kesihatannya berada di angkasa lepas selain perkembangan tugasan yang telah diamanatkan oleh rakyat Malaysia kepadanya.
“Dia bukan pergi untuk suka-suka, untuk jenguk permandangan bumi di bawah. Tetapi dia ada tugas yang perlu dilaksanakan semasa di ISS,” katanya.
Dr. Sheikh Muszaphar, 35, berlepas pada 10 Oktober bersama angkasawan Amerika, Peggy Whitson dan Jurutera Penerbangan Rusia, Yuri Malenchenko dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan untuk muncul sebagai warga Malaysia pertama yang meneroka angkasa lepas.
Kapal angkasa mereka, Soyuz TMA-11, bercantum dengan ISS pada Jumaat dan ketiga-tiga angkasawan itu memasuki ISS.
Abdullah berkata, peristiwa bersejarah itu juga menandakan Malaysia telah memasuki fasa kedua sains angkasa lepas dan meletakkan nama Malaysia antara negara elit dunia yang berjaya meneroka angkasa lepas.
“Saya berasa gembira, peristiwa bersejarah ini bukti kita ada kemampuan menghantar anak watan kita ke angkasa lepas,” katanya.
Negara akan terus memperhebatkan program-program yang berkaitan dengan sains angkasa lepas dan bekerjasama dengan negara-negara perintis dalam bidang itu seperti Rusia dan Amerika Syarikat bagi membolehkan lebih banyak penyelidikan dijalankan demi manfaat orang ramai.
“Kita mahu terus ambil bahagian dan terus positif dalam hal ini kerana hasil penyelidikan di angkasa lepas ada yang boleh kita guna untuk kepentingan manusia,” katanya.
Penglibatan negara dalam bidang angkasa lepas juga menunjukkan Malaysia menuju ke arah sebuah negara maju, katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis yang juga berada di Seri Perdana berkata telepersidangan itu tidak dapat diadakan kerana cuaca buruk di Moscow, Rusia.
Hubungan antara Pusat Kawalan Misi (MCC) dan ISS menggunakan sistem komunikasi dua hala frekuensi lampau tinggi (UHF) hanya boleh dilakukan dalam tempoh 10 minit apabila stesen angkasa itu melintasi ruang angkasa Rusia, katanya kepada pemberita.
Tetapi oleh kerana cuaca buruk itu isyarat audio dan visual tidak dapat dihantar ke Malaysia dan seterusnya Seri Perdana.
Jamaluddin juga turut meminta maaf kepada orang ramai kerana telepersidangan itu tidak dapat diadakan dan berkata pihaknya akan cuba mengadakannya semula pada malam 16 Oktober.
“Perdana Menteri telah dimaklumkan bahawa kita akan mencuba lagi untuk mengadakan telepersidangan dengan Dr. Sheikh Muszaphar pada malam 16 Oktober ini. Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan kerana semuanya berjalan dengan lancar, cuma perhubungan kita dengan Moscow mengalami sedikit gangguan,” katanya.
Turut hadir ialah isteri Abdullah, Datin Seri Jeanne Abdullah, dan menantunya Khairy Jamaluddin yang juga Timbalan Ketua Pemuda UMNO.
– Bernama
0 comments:
Post a Comment