KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan kelahiran cucu kelima pada hari pertama Ramadan sebagai satu rahmat yang membawa kegembiraan kepada ahli keluarganya sempena Aidilfitri ini.
Namun, beliau melahirkan kekesalan kerana tidak dapat meluangkan masa lebih kerap bersama cucunya disebabkan komitmen kerja.
"Saya jarang berada di rumah dan tidak dapat jumpa cucu selalu, tetapi kadang-kadang jika ada kesempatan, saya akan dokong dia sebab saya memang suka kanak-kanak," katanya ketika ditemu ramah secara lintas langsung oleh TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri, kelmarin.
Nori, anak kedua Abdullah, melahirkan anak lelaki yang diberi nama Jibreil Ali Jamaluddin Abu Bakar pada 13 September lalu. Abdullah juga mempunyai empat cucu lain menerusi anak lelakinya, Kamaluddin.
Sementara itu, Abdullah meminta pengurusan PWTC supaya memperbaiki mutu makanan beberapa menu dihidangkan kepada orang ramai selepas merasai sendiri makanan dihidangkan untuk tetamu.
Perdana Menteri yang ditemui ketika merasai makanan di seksyen khas orang ramai itu, bagaimanapun berpuas hati dengan atur cara rumah terbukanya dan Menteri Kabinet yang dihadiri kira-kira 200,000 rakyat berbilang kaum bangsa.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah pula menyifatkan pengalaman kali pertama menyambut Aidilfitri sebagai wanita pertama negara sebagai pengalaman paling manis dan penuh bermakna.
Katanya, sambutan hari raya kali ini cukup berbeza dengan apa yang pernah dilaluinya sebelum ini dan walaupun memenatkan ia menyeronokkan, khususnya dapat berkenalan dan bersalam dengan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat ke rumah terbuka diketuai suaminya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
0 comments:
Post a Comment