Bendung usaha cuba hidupkan semula Al-Arqam

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

KLANG 14 Okt. – Selangor hari ini meminta pihak berkuasa agama Islam negeri lain bersama-sama bekerjasama dalam usaha membendung kewujudan semula ajaran sesat Al-Arqam yang didapati masih lagi aktif di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, ketika ini pihaknya mendapati kumpulan yang diwartakan sebagai ajaran sesat itu masih bergerak dan aktif dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Malah, kumpulan terbabit katanya, berani menerbit serta mengedarkan buku-buku berunsurkan Aurad Muhammadiah termasuk mengagung-agungkan pemimpin mereka, Ashaari Muhammmad dan sebagainya.

“Kita minta kerjasama pihak berkuasa agama seluruh negeri serta Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dapat membuat pemantauan serta mengambil tindakan bagi menangani masalah ini.

“Perkara ini perlu dibendung dari awal kerana kegiatan oleh bekas ahli kumpulan itu boleh mengancam keselamatan serta akidah umat Islam keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pad majlis rumah terbukanya di Dewan Datuk Ahmad Razali di sini hari ini yang dihadiri lebih 6,000 orang dari pelbagai kaum dari seluruh Selangor.

Pada 5 Ogos 1994, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengisytiharkan fatwa mengharamkan Al-Arqam serta amalan-amalan yang berkaitan dengannya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut mengingatkan bekas-bekas pengikut yang cuba menghidupkan semula kumpulan terbabit supaya insaf serta kembali kepada ajaran Islam sebenar.

“Saya harap mereka supaya bertaubat dan kembali kepada ajaran Sunnah Wal-Jamaah kerana serta tidak taksub kepada pemimpin kerana ia merupakan satu perkara yang sia-sia,” ujarnya.

0 comments: