Junta Myanmar longgar sekatan

Wakil khas PBB lawat Asia beri tekanan baru

YANGON: Pemerintah tentera Myanmar semalam melonggarkan sekatan di Yangon termasuk mengurangkan tempoh perintah berkurung dan menyambung semula komunikasi internet tetapi masih meneruskan kawalan keselamatan dan operasi menahan penunjuk perasaan prodemokrasi.

Perkembangan itu berlaku ketika Wakil Khas PBB ke Myanmar Ibrahim Gambari berada di Bangkok bagi memulakan lawatan ke Asia untuk memberi tekanan kepada pemerintah tentera Myanmar.

Kalangan pemerhati pula menyelar Singapura kerana meneruskan hubungan dengan junta, termasuk mengurus dan menerima pengaliran wang haram pemimpin tentera ke bank tempatannya.

Di ibu negara Myanmar itu, tentera menggunakan pembesar suara yang dibawa trak ke seluruh bandar raya itu lewat kelmarin memaklumkan rakyat mengenai tempoh perintah berkurung terbaru yang dikurangkan selama empat jam iaitu mulai jam 11 malam hingga 3 pagi. Sebelum ini, ia dikuatkuasakan mulai jam 10 malam hingga 4 pagi.

Kelonggaran itu, disertai dengan kehadiran tidak ramai anggota keselamatan di jalan raya di Yangon, menunjukkan junta yakin ia dapat menghentikan bantahan terbesar terhadap pemerintahannya dalam masa hampir 20 tahun.

Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International mendakwa pihak berkuasa Myanmar menahan empat lagi aktivis prodemokrasi di Yangon, ketika kebimbangan semakin memuncak berhubung nasib sekurang-kurangnya 1,000 penduduk yang ditahan selepas bantahan itu.

Sementara itu, pemerhati isu Myanmar menggesa Singapura mengotakan pendirian kerasnya mengecam kerajaan junta.

"Jika Singapura membekukan akaun bank itu, kerajaan junta Myanmar pasti lumpuh. Sepatutnya, rasa marah pemimpin Singapura yang meluap-luap itu dipraktikkan (dengan mengambil tindakan keras)," kata Debbie Stothard, jurucakap kumpulan hak asasi Alternative ASEAN Network on Burma. � AFP

0 comments: