Mon | Oct 15, 07 | 2:26:38 pm MYT
Teras mengutuk dengan keras operasi tentera kerajaan Pakistan baru-baru ini yang telah melancarkan operasi mengebom 3 hari berturut-turut suatu perkampungan di Amir Ali yang telah mengakibatkan 250 orang terbunuh sebahagian besar dilaporkan di kalangan wanita dan kanak-kanak.
Sementara itu puluhan rumah penduduk dilaporkan musnah yang mengakibatkan 50,000 orang terpaksa melarikan diri dari perkampungan tersebut.
Operasi tentera yang dilancarkan di waktu bulan Ramadan yang mulia ini adalah suatu perbuatan paling biadab dan kejam terutama yang dilakukan oleh sebuah kerajaan negara umat Islam ke atas orang Islam sendiri.
Presiden Musharraf mesti dipertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan ini.
Sesungguhnya perbuatan kejam ini adalah sama hina dengan apa yang dilakukan oleh tentera Zionis Israel.
TERAS mengingatkan bahawa Presiden Musharraf turut bertanggungjawab terhadap terbunuhnya lebih 100 orang yang dibunuh di Masjid Merah di Karachi Julai lalu.
Sangat jelas Pakistan benar-benar berada di bawah telunjuk Amerika yang mahu Musharraf bertindak memburu pengikut Osama Ben Ladin.
TERAS mendesak supaya seluruh umat Islam bangkit mengutuk perbuatan kejam ini.
Umat Islam nampaknya tidak harus bergantung kepada OIC lagi dan seluruh kepimpinan organisasi OIC kerana telah gagal menangani masalah umat Islam khususnya berkaitan dengan soal Palestin. Sehingga ini tidak apa-apa bantahan dan tindakan dari OIC mengenai tragedi yang berlaku di Pakistan ini.
Ketika mana umat Islam sedang bersiap merayakan Eid Fitri, perbuatan kejam Musharraf tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Mesej keras membantah perbuatan beliau mesti diledakkan di seluruh dunia.
TERAS mendesak perbuatan tentera Pakistan itu mestilah dihentikan serta merta dan mangsa yang terbunuh dan mengalami penderitaan akibat operasi itu hendaklah dibayar pampasan secukupnya.
Sesungguhnya kegembiraan umat dikala berhari raya mesti diiringi dengan penyuaran tegas dan keras terhadap sebarang kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana kuasa dan diktator yang kerkuasa di dunia sekarang ke atas rakyat yang lemah. /tajdid
0 comments:
Post a Comment