Krew ISS nikmati juadah Malaysia

Laporan A Halim Yusof di Kazakhstan

Rendang daging, sate ayam untuk angkasawan

ANGKASAWAN pertama negara yang berada dalam keadaan baik dan sihat untuk melaksanakan beberapa kajian saintifik penting, berkongsi juadah makanan Malaysia dengan semua krew Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) ketika hidangan tengah hari pada hari keempat (waktu tempatan), semalam.

Makanan berkenaan bukan saja sebahagian proses untuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha memberi ucap penghargaan dan memperkenalkan Malaysia kepada krew ISS, ia juga sebahagian daripada uji kaji bagi menilai tindak balas makanan berkenaan yang disediakan khas Mardi, dalam suasana angkasa lepas.


Pengarah Program Angkasawan Negara, Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, berkata antara makanan yang dibawa termasuk rendang daging, tempe goreng, nasi beriani, sate ayam dan kuih bangkit. Bagaimanapun, ia bukan makanan utama angkasawan di ISS.

Dr Zulkeffeli berkata, makanan berkenaan adalah versi yang sudah disesuaikan dengan keperluan di angkasa lepas, bukan saja untuk membolehkan ia tahan lama tapi melayakkan menjadi makanan di angkasa.

"Nasi beriani umpamanya, sudah dimampatkan seperti nasi himpit bagi mengelakkan butiran kecil nasi bertaburan di ISS hingga boleh memasuki hidung angkasawan,� katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sepanjang misi 10 hari di ISS, Dr Sheikh Muszaphar akan membuat kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi di angkasa lepas terhadap sel dan mikrob, serta uji kaji pengkristalan protein untuk kegunaan sektor industri.

Pengarah Institut Perubatan Molekular Biologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr A Rahman Jamal, berkata setakat ini semua penyelidikan diaktifkan dan Dr Sheikh Muszaphar faham dengan semua prosedur.

0 comments: