Kerajaan masih kaji misi kedua

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan membuat bedah siasat terhadap program angkasawan negara pertama sebelum membuat keputusan untuk menghantar angkasawan kedua.

"Kita akan membuat bedah siasat terlebih dulu dan selepas itu akan menilai kemungkinan pada masa hadapan," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya mengenai misi angkasa lepas negara akan datang dan kemungkinan menghantar Kapten Dr Faiz Khaleed bagi mengikuti misi itu pada 2009.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis pada sidang media di Moscow, Jumaat lalu, dilaporkan berkata Dr Faiz adalah calon utama bagi misi akan datang.

Dalam pada itu, Najib turut mengesahkan beliau akan ke Moscow pada 20 Oktober ini untuk menyambut kepulangan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan bukannya ke Siberia atas faktor keselamatan dan logistik.

"Pihak Russia menasihatkan kami untuk menunggu kepulangan Dr Sheikh Muszaphar di Moscow. Pendaratan angkasawan adalah di Siberia tetapi keadaan di situ tidak mengizinkan," katanya.


Dr Sheikh Muszaphar dijangka mendarat pada kira-kira 6 jam petang (waktu Moscow) pada 21 Oktober, di satu lokasi di Siberia sebelum diterbangkan ke ibu negara Russia.

Impian Malaysia untuk meneroka angkasa lepas yang dicetuskan sejak 2003, menjadi realiti apabila kapal angkasa Soyuz 15-S yang membawa angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome pada 10 Oktober lalu.

Pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa kapal angkasa itu ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) mencapai objektif pertama apabila ia berlabuh di ISS pada jam 10.50 malam Jumaat lalu.

Selain Dr Sheikh Muszaphar, misi kapal angkasa seberat 7,170 kilogram itu juga disertai Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko dari Russia.

Tiga angkasawan itu akan berada di ISS selama 10 hari dengan Dr Sheikh Muszaphar mengadakan tiga uji kaji membabitkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa dan pengkristalan protein sebelum pulang ke bumi 21 Oktober ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, berkata wanita Malaysia mampu merebut peluang menjadi calon angkasawan sokongan kepada Kapten Dr Faiz Khaleed, jika misi ke angkasa lepas diteruskan.

"Saya yakin dengan kekuatan dan usaha berterusan wanita Malaysia sekarang, tidak mustahil kerusi calon bagi sokongan atau simpanan akan menjadi milik wanita," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, kelmarin.

Shahrizat berkata keyakinan itu berdasarkan kebolehan wanita yang setanding dengan lelaki.

0 comments: