Usaha demokrasi global dikecam -- Utusan PBB mula lawatan dapatkan sokongan


Seorang aktivis memegang anaknya yang turut serta dalam bantahan antijunta di depan kedutaan Myanmar di Bangkok, semalam.

YANGON 14 Okt. – Junta tentera Myanmar yang menangkap enam aktivis politik terbabit dalam bantahan antikerajaan sebelum ini, hari ini mengecam usaha global untuk mengembalikan demokrasi di negara ini.

Kecaman itu dibuat serentak dengan kunjungan utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari ke beberapa negara Asia bagi mendapatkan sokongan.

Ibrahim akan terbang ke Bangkok esok bagi mengadakan rundingan dengan para pemimpin Thailand.

Beliau kemudiannya, dijangka terbang ke Malaysia, Indonesia, China dan Jepun sebelum kembali ke Myanmar ketika meningkatnya tekanan terhadap junta tentera supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap penentang kerajaan dan membuka rundingan dengan para pemimpin pembangkang.

Misi Ibrahim kali ini bertujuan menyelaraskan usaha antara kerajaan-kerajaan utama di rantau Asia bagi membantu menyelesaikan krisisi.

Bagaimanapun, para pemimpin tentera Myanmar telah berulang kali menolak desakan supaya dilakukan pembaharuan dengan alasan, langkah mendemokrasikan Myanmar sedang dilakukannya dengan mengikuti tujuh langkah pelaksanaan yang diperkenalkan oleh junta tentera.

Pendirian keras junta tentera itu ditegaskan oleh junta tentera dalam akhbar rasminya, The New Light of Myanmar hari ini.

Dalam ruangan editorial, akhbar itu turut mengecam para penunjuk perasaan aman baru-baru ini sebagai pengkhianat yang “menyerahkan ibu pertiwi kepada negara asing.”

Pada masa yang sama junta tentera juga tidak mengendahkan desakan supaya menghentikan tindakan kekerasan terhadap para penentang kerajaan dan penunjuk perasaan.

Sementara itu, laporan terbaru menyebut enam aktivis politik telah ditangkap oleh pihak berkuasa Myanmar semalam dalam satu serbuan ke sebuah rumah perlindungan turut melibatkan dua pemimpin utama dalam tunjuk perasaan sebelum ini.

‘‘Tiada sebarang maklumat menyatakan di manakah mereka ditahan,’’ kata Amnesty International , sebuah kumpulan pemerhati hak asasi manusia yang berpusat di London.

– Agensi


0 comments: