Perjanjian air Pahang-Selangor hari ini

SHAH ALAM 21 Nov. – Selangor dan Pahang akan memeterai perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah pada harga 10 sen bagi setiap meter padu di Kuantan, Pahang esok.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, kerajaan Selangor pada dasarnya bersetuju dengan harga dan kualiti air yang ditawarkan menerusi projek tersebut.

‘‘Terma-terma telah ditetapkan dan kita bersetuju untuk memulakan projek ini secepat mungkin. Kerja pembinaan terowong dijangka selesai pada tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ditanya kos keseluruhan yang akan dibayar oleh kerajaan Selangor kepada Pahang, beliau berkata, ia belum dapat diputuskan memandangkan pihaknya belum mengetahui jumlah air yang akan disalurkan dari negeri itu.

‘‘Ia (jumlah air) bergantung kepada keperluan dan kita perlu tunggu kerja-kerja pembinaan terowong siap terlebih dahulu,” tambahnya.

Penyaluran air Pahang-Selangor merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang dicadangkan sejak tahun 2000 dan dijangka menelan belanja sebanyak RM2.9 bilion.

Projek tersebut begitu diperlukan di Lembah Klang kerana keperluan air di kawasan terbabit meningkat daripada 1,500 juta liter sehari (mld) pada masa ini kepada 2,260 mld pada tahun 2010.

Selain itu, keperluan penyaluran air dari Pahang juga dianggap mendesak memandangkan Selangor dijangka menghadapi krisis bekalan air pada tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Khir memberitahu, Kerajaan Persekutuan bersetuju membina sebuah jambatan baru di Sungai Udang, Klang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang begitu serius ketika ini.

Ujar beliau, sejumlah RM40 juta diperuntukkan untuk projek tersebut yang turut merangkumi pembinaan jalan penyuraian trafik Klang dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi.

0 comments: