Sidang berjaya capai matlamat: Abdullah

Daripada Mutazar Abdul Ghani dan Johan Affendi

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, menyimpulkan bahawa Sidang Kemuncak Asean ke-13 dan sidang kemuncak lain yang berakhir di sini, semalam berjaya mencapai matlamatnya, terutama sekali dengan pemeteraian Piagam Asean oleh semua negara anggota Asean.

Bercakap dalam sidang media di sini, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam tadi, Abdullah turut mengucapkan terima kasih kepada Singapura selaku tuan rumah sidang kemuncak kali ini, terutama Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong kerana berjaya memainkan peranan aktif dalam memastikan segala yang dirancang pada sidang kali ini, berjaya mencapai matlamatnya.

Perdana Menteri berkata, kejayaan semua negara anggota menandatangani Piagam Asean menjadi peristiwa paling penting dalam sejarah 40 tahun penubuhan pertubuhan berkenaan dan ia kini melangkah ke era baru dalam segala bidang.

"Bagaimanapun, piagam itu perlu disahkan semua negara anggota sebelum sidang kemuncak seterusnya di Thailand tahun depan, itu tempoh masa yang diberikan kepada semua ketua negara Asean. Yang pasti, piagam berkenaan menjadikan Asean sebagai satu pasaran yang lebih besar, kohesif serta kompetitif," katanya.

Mengulas mengenai isu Myanmar, Abdullah berkata, semua negara anggota Sidang Kemuncak Asean dan Asia Timur (EAS) memberikan pandangan dan ada yang agak kecewa kerana sikap Asean yang terus dengan pendirian untuk tidak campur tangan dalam masalah dalaman negara anggota berkenaan.

Perdana Menteri berkata, Asean bagaimanapun, terus akan menyokong segala usaha yang dimainkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Wakil Khasnya, Ibrahim Gambari kerana ia juga yang dimahukan Myanmar.

"Myanmar berasakan Asean tidak perlu campur tangan dalam masalah berkenaan, dan Malaysia menyokongnya. Mereka lebih senang berurusan dengan Gambari kerana beliau sudah empat kali ke negara berkenaan dan sudah mencapai beberapa persetujuan antara kedua pihak," katanya.

Justeru, beliau berkata, adalah lebih baik Asean memberikan sokongan kepada Gambari dan Myanmar supaya meneruskan objektif yang sudah mereka rancang, tetapi pada masa sama, memberikan pandangan sekiranya diperlukan kedua-dua pihak.

"Itu yang dipersetujui Gambari dan Myanmar sebelum kedua pihak itu bertemu di sini, jadi kita tidak ada masalah dan Asean akan terus memegang pendirian yang dikeluarkan Menteri Luar Asean di New York, September lalu," katanya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, adalah penting bagi semua negara anggota mengesahkan Piagam Asean itu mengikut perlembagaan negara masing-masing supaya ia boleh digerakkan.

Katanya, atas sebab itu, semua Ketua Negara Asean diberikan tempoh selama setahun sebelum sidang kemuncak seterusnya di Thailand, tahun depan, bagi mendapatkan pengesahan daripada kerajaan masing-masing.

"Ada negara yang perlu membentangkan piagam berkenaan di Parlimen masing-masing, bagi Malaysia, kita tidak perlu ke Parlimen... cukup Kabinet saja yang memberikan pengesahan dan kita tidak mempunyai masalah untuk mengesahkan piagam ini," katanya.

0 comments: