Tanah runtuh ancam penduduk Talang Hulu

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

KUALA KANGSAR: Tanah runtuh di tebing Sungai Kangsar menyebabkan sebahagian rumah dan jambatan besi sepanjang kira-kira 10 meter berhampiran Kampung Talang Hulu dekat sini, dihanyutkan arus deras dalam kejadian kira-kira 8 malam kelmarin.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pesara, Ahmad Majid Mat Dan, 60, berkata jambatan besi yang runtuh itu adalah laluan utama yang digunakan lebih 10 keluarga ke beberapa kampung berdekatan dan ke Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Katanya, walaupun ada tiga lagi jambatan di Kampung Talang Hulu, jambatan yang runtuh paling kerap digunakan penduduk sekitarnya.

“Jambatan ini baru berusia lima tahun dan selalu digunakan orang kampung untuk keluar dan masuk kampung atau ke bandar.

“Arus sungai terlalu kuat hingga menghakis tebing kerana hujan lebat dari petang hingga malam tadi (kelmarin) menyebabkan hakisan tanah dan akhirnya jambatan ini runtuh," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Salah seorang mangsa, Ahmad Zahimi Haron, 46, berkata bahagian dapur rumahnya yang hampir dengan Sungai Kangsar runtuh dibawa arus deras.

Beliau berkata, rumahnya juga dilanda banjir lumpur sedalam kira-kira satu meter sejak malam kelmarin.

Katanya, kejadian itu menyebabkan rumahnya tidak selamat diduduki hingga beliau memutuskan membawa isteri dan lima anak berteduh di bawah jejambat berhampiran Plaza Tol Kuala Kangsar.

"Jiran menolong mengangkat beberapa barang di dapur sebelum kami meninggalkan rumah malam tadi (kelmarin).

"Tetapi peralatan kerja saya tidak sempat diambil," katanya yang mencari nafkah sebagai mekanik.

Ahmad Zahimi berkata, beliau tinggal di Kampung Talang Hulu sejak 40 tahun lalu dan hakisan itu adalah yang pertama di kampung itu.

Beliau berkata, hakisan tanah di sungai itu berlaku mungkin kerana kerja menaik taraf sungai terbabit oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dimulakan beberapa bulan lalu.

Pengarah JPS Perak, Ahmad Razak Dahlan bagaimanapun menafikan projek penyaluran Sungai Kangsar sebagai punca tanah runtuh di Kampung Talang Hulu.

Katanya, kejadian itu disebabkan hujan lebat di hulu sungai, mengakibatkan arus deras dan hakisan tebing sungai.

"Projek penyaluran Sungai Kangsar sebenarnya banyak berjaya mengurangkan masalah banjir tetapi ini bukan punca tanah runtuh," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

0 comments: