Oleh Norhana Salashar Basharuddin
|
|
KUALA LUMPUR 21 Nov. – Seorang ibu muda, Siti Nadzirah Mohd. Nasir, 20, yang terlibat dalam pertikaian penjagaan anak bersama suaminya di Pakistan sejak empat bulan lalu sanggup meredah segala kepayahan bagi memastikan bayinya, Arman Khan Fazal Azim, yang berusia setahun berjaya dibawa pulang semula ke Malaysia.
Arman Khan kembali ke Malaysia semalam selepas Siti Nadzirah menempuh perjalanan yang panjang iaitu selama hampir 24 jam.
Bagi memastikan anaknya dibawa pulang dengan selamat ke Malaysia, Siti Nadzirah bersama bapanya, Mohd. Nasir Bakar, 44, dan ibunya, Siti Abdullah, 42, sanggup melakukan penerbangan transit di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura sebelum menaiki pesawat Malaysia Airlines System (MAS) pulang ke tanah air.
Siti Nadzirah pergi ke Pakistan pada 16 November lalu dan merancang dengan rapi operasi membawa pulang Arman Khan.
Ibu muda itu yang sepatutnya berlepas ke Malaysia dengan menaiki pesawat di Islamabad bertindak nekad menaiki teksi ke Lahore yang memakan masa perjalanan empat jam bagi mengelak dijejak oleh keluarga suaminya.
Selepas menempuh segala kepayahan, berbekalkan semangat dan kasih sayang yang teramat sangat terhadap anaknya, Siti Nadzirah sekeluarga selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang kira-kira pukul 2 petang semalam.
Ketika ditemui di rumah keluarganya di Rawang, Selangor dekat sini malam ini, Siti Nadzirah bersyukur impiannya membawa Arman Khan pulang ke tanah air tercapai.
‘‘Walaupun saya berpendapat saya membawa Arman Khan pulang ke Malaysia melalui saluran betul, tetapi perasaan bimbang tetap ada,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 14 Julai lalu, Siti Nadzirah mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia kerana tidak tahan dengan layanan keluarga mertuanya.
Beliau mendakwa hanya diberi susu kerbau basi dan capati bagi makanan seharian sejak dibawa ke negara itu oleh suaminya, Fazal Azim Abdul Ahad, 24.
Sebelum pulang ke tanah air, Siti Nadzirah mendapatkan hak penjagaan anaknya dari Mahkamah Daerah Bruner, Pakistan bagi membolehkannya membawa anaknya kembali ke Malaysia.
Bagaimanapun, beliau terpaksa pulang ke Malaysia dengan tangan kosong selepas keluarga mertuanya enggan menyerahkan anaknya.
Pada 23 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Peshawar, Pakistan yang sepatutnya mengumumkan keputusan mengenai hak penjagaan ke atas anak Siti Nadzirah membuat keputusan menyerahkan anak itu kepada Fazal Azim atas alasan Arman Khan tidak mengenali ibunya.
Bagaimanapun, Siti Nadzirah dibenarkan bertemu anaknya setiap hari Sabtu selama enam jam.
Menurut Siti Nadzirah, beliau dan kedua-dua ibu bapanya berlepas ke Islamabad Jumaat lalu semata-mata mahu berjumpa dengan anaknya seperti yang diarah oleh Mahkamah Tinggi Peshawar sebelum ini.
‘‘Namun, Sabtu lalu, suami saya tidak datang ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad seperti yang diarah menyebabkan saya bimbang.
Perbicaraan
‘‘Saya dapat tahu rupa-rupanya suami saya sedang menghadiri perbicaraan pertama kes kami tanpa memaklumkannya kepada saya,’’ ujar beliau.
Siti Nadzirah memberitahu, dengan pertolongan beberapa kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, akhirnya suaminya akur dan membawa Arman Khan untuk berjumpa dengannya keesokan hari.
‘‘Apabila memikirkan saya telah mendapat hak penjagaan ke atas Arman Khan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Daerah Bruner Julai lalu, saya nekad membawa anak saya pulang ke Malaysia.
‘‘Selain itu, Arman Khan juga mempunyai dokumen perjalanan sementara yang diperoleh di Islamabad sejurus selepas mahkamah tersebut memberi hak penjagaan itu kepada saya,’’ katanya.
Dengan dokumen perjalanan itu, Siti Nadzirah memberitahu, tiada alasan untuk mana-mana pihak mengatakan anaknya tidak boleh dibawa keluar dari Pakistan kerana mereka telah melepasi kaunter Imigresen di lapangan terbang di Lahore secara sah.
Sementara itu, peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar yang dilantik mewakili Siti Nadzirah ketika dihubungi memberitahu, mahkamah di sana tidak mengenakan sebarang sekatan yang menghalang wanita itu daripada membawa anaknya keluar dari Pakistan.
Menurut Zainul Rijal, kes tuntutan fasakh Siti Nadzirah untuk memutuskan perkahwinannya dengan Fazal Azim akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada 9 Januari depan.
“Siti Nadzirah juga akan membuat permohonan jagaan anak kepada mahkamah negara ini,” katanya.
Menurut peguam syarie itu, kes jagaan anak itu seharusnya dibicarakan di Malaysia dan bukannya di Pakistan kerana Siti Nadzirah dan suaminya berkahwin di Malaysia.
‘‘Selain itu, anaknya juga dilahirkan di Malaysia dan merupakan warganegara Malaysia,’’ jelasnya.
Zainul Rijal berkata, beliau dalam proses mengumpul segala maklumat berkaitan tuntutan tersebut sebelum dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah dalam masa terdekat ini.
‘‘Saya baru sahaja dilantik oleh keluarga Siti Nadzirah bagi mewakili mereka pagi ini dan buat masa ini masih terlalu awal untuk saya mengulas mengenai kes itu,’’ ujarnya.
0 comments:
Post a Comment