Siti Salmah tunjuk tanda semakin pulih

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Siti Salmah Jasni yang menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru serentak pada 2 November lalu kini menunjukkan perkembangan positif ke arah pemulihan.

Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ashari Yunus berkata, gadis itu kini boleh duduk jika katilnya dinaikkan dan makan melalui tiub yang disalurkan.

Selain itu, menurutnya, Siti Salmah menunjukkan tanda-tanda ingin bercakap tetapi masih memerlukan bantuan mesin untuk bernafas.

‘‘Kami menganggap perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif dan masih memantau perkembangannya.

‘‘Hanya orang tertentu dibenarkan menemui Siti Salmah buat masa ini kerana keadaannya yang masih lemah,’’ kata Ashari ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, bapa Siti Salmah, Jasni Zainal, 52, berterima kasih kepada keluarga wanita dari Kedah yang mendermakan organ kepada Siti Salmah untuk membolehkannya meneruskan kehidupan.

‘‘Saya memang sudah lama ingin menyampaikan rasa syukur dan terima kasih kepada keluarga wanita yang mendermakan organ kepada Siti Salmah.

‘‘Budi baik mereka akan saya kenang sampai bila-bila kerana organ yang didermakan itu telah memberi harapan kepada anak saya untuk meneruskan kehidupannya.

‘’Hanya Allah yang boleh membalas segala jasa mereka,’’ katanya.

Siti Salmah, 18, yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru awal bulan ini selepas keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah bersetuju mendermakan semua organ dan tisu badan wanita berkenaan.

0 comments: