Proton mampu berdikari hadapi persaingan automotif

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membenarkan Proton Holdings Bhd beroperasi sendiri menunjukkan bahawa pengeluar kereta nasional itu mampu berdikari dalam persaingan industri automotif negara yang kompetitif.

Presiden Persatuan Automatif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata walaupun ramai pihak berharap Proton mempunyai rakan strategik, namun jaminan kerajaan yang ia tidak akan menaikkan duti import kenderaan penumpang dari luar negara adalah satu perkembangan positif.

“Beberapa bulan lalu kita meramalkan rundingan itu tidak akan diteruskan berdasarkan sambutan baik diterima Proton melalui model kereta baru yang diperkenalkannya,” katanya kepada Bernama merujuk kepada Proton Persona yang mencatatkan tempahan 22,000 unit sehingga bulan lalu, dua bulan selepas model baru itu dilancarkan.

Aishah mengulas mengenai keputusan kerajaan menamatkan rundingan bagi kemungkinan menjalin kerjasama strategik antara Proton Holdings Bhd dan Volkswagen AG, serta General Motors Corporation berikutan perkembangan positif dalam jualan domestik dan eksport Proton.

Semalam, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata keputusan kerajaan itu dibuat selepas menimbang secara berhati-hati semua isu terbabit, isu kerjasama strategik, nilai usaha sama strategik serta kemajuan yang dibuat dalam pemulihan syarikat pembuat kereta nasional itu.

Bagaimanapun, Aishah berkata, Proton masih perlu menimbangkan kemungkinan usaha sama strategik dengan syarikat pengeluar kereta asing bagi menembusi pasaran luar dan penjenamaan bagi jangka masa panjang.

“Usaha sama pada masa akan datang bukan hanya untuk membangunkan model baru tetapi untuk meningkatkan eksport kereta ke pasaran luar yang lebih luas,” katanya.

Selain jumlah angka jualan yang kukuh, satu kajian khusus juga menunjukkan Indeks Kepuasan Pengguna Proton meningkat kepada 713 mata berbanding 677 mata pada tahun lepas.

Penamatan rundingan itu juga berdasarkan galakan usaha sama di luar negara dan jualan kereta nasional itu di Iran, China dan Indonesia, selain peluang akan dilaksanakan di Thailand.

0 comments: