KUALA LUMPUR 21 Nov. – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyifatkan langkah Kementerian Pelajaran menukar nama peperiksaan bagi sekolah rendah dan menengah sebagai wajar jika elemen penaksiran itu diaplikasikan dengan berkesan.
Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, walaupun nama itu ditukar sebanyak mana sekalipun, ia tidak akan memberi apa-apa faedah jika elemen-elemen yang tersenarai gagal dilaksanakan.
‘‘Apa ada pada nama? Yang paling penting, pihak Kementerian Pelajaran perlu memastikan semua pelajar, guru dan ibu bapa bersedia dengan konsep baru ini.
‘‘Mereka perlu memastikan pelaksanaan ini tidak membebankan semua pihak terutamanya pelajar dan guru yang akan melaluinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Kementerian Pelajaran menukar nama dua peperiksaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), masing-masingnya kepada Pentaksiran Sekolah Rendah (PSR) dan Pentaksiran Sekolah Menengah Rendah (PSMR) bermula tahun 2011.
Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal mengguna pakai nama yang sedia ada.
Mohamad Ali berkata, semua elemen pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, peperiksaan pusat, pentaksiran aktiviti, jasmani dan kokurikulum serta ujian psikometrik yang digariskan perlu diperjelaskan kepada umum supaya tidak timbul salah faham.
‘‘Penaksiran yang tidak lagi menekankan pencapaian akademik semata-mata adalah sesuatu yang bagus kerana ia tidak membebankan para pelajar dengan peperiksaan.
‘‘Saya harap penaksiran ini dapat mencungkil minat dan bakat para pelajar sekali gus membina modal insan seperti yang kerajaan inginkan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, bekas Naib Canselor Pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid menyifatkan langkah itu tidak berfaedah dan membuang masa.
‘‘Kenapa perlu ditukar sedangkan nama yang kita gunakan juga sudah cukup sinonim dengan sistem pendidikan kita,” katanya.
Beliau berkata, langkah penukaran nama itu tidak perlu dilaksanakan memandangkan ia akan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.
0 comments:
Post a Comment