Daripada Mutazar Abdul Ghani dan Johan Affendi di Singapura
RAKAN SEJAWAT: Abdullah bersama Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont pada Sidang Kemuncak Asean ke-13 di Singapura, semalam. |
DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Proton Holdings Bhd melaksanakan pelan pemulihan seperti dilakukan Penerbangan Malaysia (MAS) berikutan keputusan pemegang saham terbesarnya, Khazanah Nasional Bhd, menamatkan rundingan bagi mengadakan pakatan strategik dengan General Motors Corporations (GM) dan Volkswagen AG.
Perdana Menteri berkata, Proton seharusnya diberi peluang melaksanakan pelan pemulihan dan pada masa ini pengurusannya juga sudah menunjukkan keupayaan untuk memulihkan syarikat itu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tidak timbul soal menyelamatkan Proton kerana kedudukan pengeluar kereta nasional itu kini dalam keadaan baik.
"Apa yang saya tahu, Proton memperoleh janji niaga untuk mengeksport keretanya ke India, China, Asia Barat dan Indonesia.
"Proton juga akan mengeluarkan model baru... saya fikir inilah pemulihan yang dicapai Proton pada masa ini dan kami telah meminta Proton melaksanakan pelan pemulihan seperti yang dilakukan MAS.
"Inilah sesuatu yang kita perlu tahu, orang ramai dan pelabur mesti tahu apa yang mereka (Proton) cuba lakukan," katanya pada sidang media pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-13 di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Khazanah Nasional menghentikan rundingan dengan General Motors dan Volkswagen AG berhubung cadangan mengadakan pakatan strategik dengan Proton.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Khazanah yang memegang 43 peratus
kepentingan dalam Proton menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa perkembangan positif yang berlaku dalam syarikat itu sejak kebelakangan ini, terutama pemulihan jualan di pasaran domestik dan eksport.
Abdullah berkata, mengikut apa yang dipersetujui oleh Khazanah, buat masa ini tidak ada lagi perbincangan dengan pihak terbabit.
"Ya, tiada lagi perundingan. Ini dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Kita mahu beri peluang kepada Proton untuk laksanakan pemulihan.
"Pengurusan Proton telah menunjukkan keupayaan untuk pemulihan dan situasi Proton pada masa sekarang tidak sama dengan keadaannya ketika memulakan rundingan dengan syarikat terbabit dua atau tiga tahun lalu," katanya.
Mengenai sebarang tempoh yang ditetapkan bagi pemulihan Proton, Perdana Menteri berkata, Proton sudah memulakan usaha pemulihan dan mereka mempunyai program yang baik.
Ditanya kemungkinan Proton mencari rakan kongsi strategik tempatan berikutan penamatan rundingan dengan GM dan Volkswagen AG, beliau berkata: "Kita tidak berbincang untuk mempunyai sebarang rakan kongsi pada masa ini dan kini perhatian sepenuhnya diberi untuk menjadikan pemulihan (Proton) benar-benar berjaya."
Bagaimanapun, katanya, Proton mungkin berada dalam kedudukan baik pada masa depan untuk mempunyai rakan strategik.
"Sebelum ini, ketika menimbang untuk mencari rakan strategik, ia (Proton) berada dalam kedudukan yang tidak baik, tapi sekarang pengurusan telah membuktikan mereka sedang dalam pemulihan. Saya percaya pemulihan ini adalah pemulihan yang berjaya," katanya.
Mengulas perkembangan terkini penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes video V K Lingam, Abdullah berkata, satu lagi perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan minggu depan.
"Saya diberitahu tadi, mereka (Kabinet) telah bincang dan buat keputusan bahawa perkara ini akan dibincang sekali lagi minggu depan apabila saya balik dari lawatan ke luar negara," katanya.
0 comments:
Post a Comment