RM8.3b dibelanja untuk projek infrastruktur

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM8.3 bilion daripada RM20 bilion yang diperuntukkan bagi Kementerian Kerjar Raya menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk projek infrastruktur sudah dibelanjakan, kata Menterinya, Datuk Seri S Samy Vellu.

Katanya, RM8.3 bilion itu yang mewakili 43.8 peratus daripada peruntukan yang diberikan sudah dibelanjakan sejak tahun lalu dengan RM5 bilion dibelanjakan pada tahun itu dan RM3.7 bilion dijangka dibelanjakan sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan, di sini, semalam bagi menjelaskan kenyataannya pada Isnin lalu bahawa kementerian itu sudah membelanjakan kira-kira 75 peratus dana yang diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek RMK-9.

“RM3.7 bilion ini hanya mewakili 75 peratus daripada perbelanjaan untuk 2007 dan kami berharap untuk membelanjakan 100 peratus peruntukan bagi tahun ini (2007) sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Beliau yang berpuas hati dengan perbelanjaan peruntukan berkenaan berkata, Jabatan Kerja Raya akan mengiklankan tender dalam akhbar tempatan bagi beberapa projek infrastruktur dari semasa ke semasa.

“JKR sedang memantau projek yang sudah ditender dan saya sendiri meneliti laporan dan perkembangan terkini projek terbabit,” katanya.

Samy Vellu berkata, semua kerajaan negeri sudah melantik seorang wakil yang akan memantau perkembangan terkini pelaksanaan pelbagai projek RMK-9, dan mereka juga menganggotai Jawatankuasa Pemantau yang ditubuhkan Kementerian Kerja Raya khusus untuk RMK-9.

Beliau berkata, individu yang dilantik itu juga bertanggungjawab berbincang dengan kementerian mengenai projek di negeri masing-masing.

“Setakat ini, semuanya berjalan lancar melalui koordinasi antara Kementerian Kerja Raya dan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya menafikan dakwaan bahawa struktur jambatan Pulau Pinang mengalami keretakan serius yang boleh mengancam keselamatan pengguna khususnya penduduk pulau berkenaan.

Samy Vellu, berkata struktur jambatan berkenaan berada dalam keadaan baik serta kukuh dan pengguna boleh menggunakan jambatan dengan selamat pada bila-bila masa.

“Pihak jurutera perunding yang dilantik mengesahkan keteguhan keseluruhan struktur dan keselamatan jambatan berada pada tahap baik. Tiada apa yang perlu dirisaukan pengguna dan mereka tidak perlu takut untuk menggunakan jambatan.

“Pihak operator jambatan, Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) juga sentiasa memantau kerja pengawasan secara rutin mengikut jadual bagi memastikan struktur jambatan dalam keadaan selamat untuk digunakan oleh semua jenis kenderaan,” katanya.

0 comments: