Rangka manusia zaman Kesultanan Melaka ditemui

Oleh LUKMAN ISMAIL

MELAKA 21 Nov. – Empat tengkorak dan rangka manusia dipercayai dari zaman Kesultanan Melaka yang masih lengkap ditemui di pekarangan bangunan Unit Polis Pelancong Melaka di Jalan Kota di sini baru-baru ini.

Rangka manusia yang ditemui ketika kerja-kerja penggalian berhampiran tapak Bastian Middleburg iaitu sebahagian Kota Melaka itu dipercayai berasal dari tahun 1400 hingga 1450, iaitu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, pada masa ini rangka manusia tersebut ditempatkan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

‘‘Kajian anatomi dan analisis saintifik telah dijalankan dengan bantuan kepakaran daripada Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, USM.

‘‘Berdasarkan hasil sampel Radiokarbon Dating ke atas tulang femur, iaitu sampel tulang yang diambil di tapak penyelidikan mencatatkan ia berasal dari tahun 1400 hingga 1450, iaitu era Kesultanan Melayu Melaka,” katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Ghafar Atan (BN-Gadek) berhubung penemuan bahan artifek di tapak asal menara tinjau pada persidangan ketiga, penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di sini hari ini.

Ab. Rahaman berkata, keempat-empat rangka manusia yang lengkap bersama beberapa serpihan tulang lain ditemui kira-kira enam bulan lalu di satu kawasan setempat dipercayai kubur.

Bagaimanapun, beliau berkata, kajian lebih teliti kini sedang dijalankan ke atas rangka terbabit bagi mengesahkan jantina, bangsa dan lain-lain.

Ditanya pemberita di luar dewan sama ada rangka itu akan dibawa pulang ke Melaka selepas kajian selesai dibuat, beliau berkata, ia masih belum ditentukan tetapi kerajaan negeri akan berusaha untuk membawanya pulang ke negeri ini.

‘‘Kita masih lagi belum tetapkan tetapi besar kemungkinan kita akan bawa pulang ke Melaka untuk dipamerkan di negeri ini,” katanya.

Tapak Bastian Middleburg yang merupakan sebahagian tembok Kota Melaka yang dibina ketika abad ke-16 ditemui ketika kerja-kerja pembinaan menara tinjau Melaka sedang dijalankan, akhir tahun lalu.

Ekoran tersebut, pembinaan menara tersebut telah dihentikan dan ia kemudian dipindahkan ke kawasan lain tidak jauh dari lokasi tersebut.

Pada masa kini, kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sedang membina semula Bastian Middleburg dan sebahagian besar tembok Kota Melaka dengan peruntukan lebih RM12.8 juta.

Ab. Rahaman berkata, selain rangka manusia, turut ditemui pelbagai artifek di tapak tersebut antaranya porselin China, pecahan tembikar batu, patahan paip Belanda, peluru senapang dan lain-lain.

0 comments: