ASADABAD: Beratus-ratus penduduk kampung yang marah mengadakan tunjuk perasaan di timur Afghanistan kelmarin dan menuduh tentera Amerika Syarikat membakar al-Quran, dakwaan yang dinafikan pasukan tentera asing diketuai Washington.
Penduduk di wilayah Kunar menghalang jalan raya selama beberapa jam sebelum ahli Parlimen, yang berada di rumah masing-masing untuk menyambut Aidilfitri, berjaya menenangkan mereka.
Akhbar Arab News melaporkan, penunjuk perasaan menuduh tentera asing mengoyak dan membakar al-Quran dalam satu serbuan tengah malam dan menangkap empat lelaki. Wartawan AFP melihat kesan muka surat al-Quran yang terkoyak di kampung Kodu, kira-kira 20 kilometer ke selatan ibu negeri wilayah itu, Asadabad.
Pemilik rumah, yang juga bapa dua daripada lelaki yang ditangkap berkata tentera menyerbu masuk ke rumah itu pada awal pagi dan terus mendapatkan al-Quran.
"Mereka mengikat dan membawa pergi dua anak lelaki saya bersama-sama mereka. Mereka mendapatkan al-Quran, melemparkannya ke lantai. Mereka mengoyak dan membakar al-Quran dan membawa sebuah lagi bersama-sama mereka," kata Char Gul.
Seorang lagi penduduk kampung, Haji Mumtaz, berkata serbuan bermula pada tengah malam dan berlanjutan sehingga awal pagi.
"Mereka menangkap empat orang dan menghina al-Quran," katanya.
Tentera asing, yang memburu pejuang Taliban dan al-Qaeda, mengesahkan operasi dilancarkan di kampung itu dan empat lelaki ditahan tetapi menafikan dakwaan menghina al-Quran.
"Tentera asing terbabit dalam kejadian itu tetapi tidak menghina sebarang kitab agama. Kami menghormati semua agama dan melayan kitab agama dengan hormat," kata jurucakap tentera, Mejar Chris Belcher.
Afghanistan adalah negara Islam dan dakwaan penghinaan Islam pada masa lalu mencetuskan bantahan yang bertukar ganas.
Pada April 2005, beribu-ribu penduduk mengadakan bantahan berhubung dakwaan dalam majalah Newsweek al-Quran dihina di kem tahanan Amerika di Teluk Guantanamo. Keganasan meletus dalam satu demonstrasi, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 terbunuh dan 120 lagi cedera.
Ketua Polis wilayah Kunar, Abdul Jalal Jalal, berkata tidak jelas apa sebenarnya berlaku dalam kejadian terbaru itu, dan pihak berkuasa menghantar delegasi ke kawasan itu untuk menyiasat. � Agensi
0 comments:
Post a Comment