Dwibahasa dikekal elak jurang antara sekolah

Oleh Azman Zakaria


PENDEDAHAN BERGUNA: Hishammuddin beramah mesra dengan pelajar Maktab Tentera Diraja Sungai Besi yang menjuarai pertandingan F1 In Schools , di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Keputusan mengekalkan pendekatan untuk pelajar menjawab peperiksaan subjek Matematik dan Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan bertujuan mengelakkan jurang pencapaian yang lebih besar antara sekolah bandar dan luar bandar, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, jika pelajar dimestikan menjawab peperiksaan itu dalam bahasa Inggeris tahun depan, ia akan mendatangkan kesan besar dan menjauhkan lagi jurang antara sekolah bandar dan luar bandar.

Sehubungan itu katanya, pendidikan dalam bahasa Inggeris akan diperkukuhkan sebelum keputusan untuk pelajar menjawab peperiksaan itu dalam bahasa Inggeris dibuat.


"Ramai guru sudah dilatih, tapi masih ada ruang untuk mempertingkatkan kemahiran mereka termasuk dalam menggunakan perkakasan yang sedia ada.

"Mengekalkan keputusan sedia ada juga tidak jejaskan sesiapa... jika ada kemampuan dan mahir menjawab dalam bahasa Inggeris boleh jawab dalam bahasa Inggeris. Yang nak jawab dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Cina (di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) ataupun bahasa Tamil (di SJK Tamil) itu terserah... sekurang-kurangnya mereka ada pilihan," katanya selepas menutup pertandingan F1 In Schools di sini, semalam, yang dimenangi pasukan Rapid Blaze dari Maktab Tentera Diraja Sungai Besi.

Rabu lalu, beliau berkata, kerajaan memutuskan peperiksaan subjek Matematik dan Sains dalam UPSR diteruskan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan sementara kajian menyeluruh mengenainya selesai dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.


Sebelum itu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peperiksaan Matematik dan Sains di sekolah jenis kebangsaan akan diteruskan dalam dwibahasa.

Mengenai pertandingan F1 In Schools itu, Hishammuddin berkata, program berkenaan yang dimulakan pada 2005 semakin mendapat sambutan dengan penyertaan 438 pasukan tahun ini berbanding 14 buah pada 2005 dan 40 pasukan tahun lalu.

Katanya, program itu memberi pendedahan kepada pelajar dalam pelbagai perkara termasuk kemahiran berkaitan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), membuat kajian dan bekerja dalam satu pasukan termasuk mencari penaja.

Beliau berkata, ia juga memberi manfaat kepada agenda integrasi nasional apabila mulai tahun ini ada pasukan gabungan dibentuk.

"Kepelbagaian aliran pendidikan ini boleh kita manfaatkan dalam agenda yang lebih besar seperti integrasi nasional," katanya.

Katanya, pendekatan seperti itu akan diketengahkan pada peringkat antarabangsa apabila Malaysia menjadi tuan rumah pertandingan peringkat dunia Mac tahun depan, dengan membentuk pasukan gabungan dari sebuah sekolah negara ini dengan sebuah sekolah di Jerman.

Katanya, beliau juga sedang mendapatkan persetujuan bagi mewujudkan pasukan gabungan antara Malaysia, United Kingdom dan sebuah sekolah negara Asean untuk pertandingan tahun depan.

0 comments: