“Perjumpaan terakhir”

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR 30 Okt. – “Mungkin ini merupakan perjumpaan kali terakhir.’’ Itulah kata-kata terakhir Allahyarham Datuk Dr. Nik Zainal Abidin Nik Abdul Rahman, pakar kardiologi negara yang terbunuh dalam satu nahas jalan raya dekat Lebuh Raya Karak di Bentong petang semalam.

Seorang kawan rapat arwah, Samsudin Ahmad, 65, ketika ditemui memberitahu, Dr. Nik Zainal mengucapkan kata-kata itu sewaktu majlis perjumpaan bersama rakan-rakan beliau yang diadakan di Janda Baik, Karak baru-baru ini.

‘‘Sabtu lepas, arwah mengadakan majlis perjumpaan bersama rakan-rakan bekas sekolahnya dahulu, Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

‘‘Kami tidak menyangka perjumpaan itu merupakan perjumpaan terakhir kami dengannya,’’ kata Samsudin ketika ditemui di rumah arwah di Jalan Semarak di sini hari ini.

Seorang lagi kenalan rapat Allahyarham, Tan Sri Dr. Sulaiman Daud menyifatkan pemergian Dr. Nik Zainal sebagai kehilangan besar buat negara dalam bidang kepakaran jantung.

‘‘Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab mengasaskan Unit Kardiologi Jantung Negara sehinggakan beliau pernah berjanji tidak akan bersara daripada jawatannya sebelum beliau dapat melahirkan ramai pakar jantung sepertinya,’’ ujar Dr. Sulaiman yang merupakan bekas Timbalan Menteri Kesihatan.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi anggota keluarga arwah sewaktu majlis pengebumian di Tanah Perkuburan, Titiwangsa di sini pagi ini yang dihadiri keluarga dan teman rapat.

Beliau meninggalkan seorang balu, Datin Daisy Abdullah dan dua orang anaknya yang turut mengikuti jejak langkah beliau dalam bidang perubatan iaitu Dr. Nik Halmey, pakar jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan Dr. Nik Serena, seorang doktor di sebuah hospital di England.

Petang semalam, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Dr. Nik Zainal berlanggar dengan sebuah treler sewaktu mangsa dalam perjalanan dari rumah persinggahannya di Janda Baik menuju ke bandar Bentong.

Beliau yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang pekerja Allahyarham yang berada bersamanya sewaktu dalam kenderaan tersebut, bagaimanapun, tidak mengalami apa- apa kecederaan.

Pekerja itu, Fauzi Ruminah ketika ditemui di rumah arwah memberitahu sejurus selepas kemalangan berlaku dia sempat mengajar arwah mengucap sebanyak tiga kali sebelum menghembuskan nafas terakhir.

‘‘Saya sempat memangku arwah sebelum dia meninggal dunia,’’ katanya yang masih dalam keadaan sedih.

Sementara itu, seorang lagi rakannya, Datuk Mukhtar Hashim menyifatkan sifat peribadi arwah yang mulia dan sentiasa mengambil berat keadaan kawan-kawan membuatkan beliau sangat disanjungi oleh segenap lapisan masyarakat.

‘‘Beliau sangat rapat dengan kami. Pada bulan Ramadan lalu, beliau turut mengerjakan umrah bersama rakan-rakannya,’’ jelasnya.

Dr. Nik Zainal ialah bekas graduan Fakulti Perubatan Universiti Monash, Australia bersama Datuk Dr. Rozali Wathooth, rakan seangkatan beliau dalam bidang pembedahan jantung.

Beliau merupakan salah seorang pakar yang terlibat dalam pembedahan pintasan koronari yang pertama di Malaysia pada 22 Oktober 1982 bersama pasukan pakar bedah yang turut dianggotai oleh Dr. Rozali.

0 comments: