‘Saya malu’

BERIKUT ialah transkrip penuh soal jawab pemberita dengan Pengarah Jabatan Siasatan Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Pahlawan Ramli Yusuff pada sidang akhbar yang diadakannya di Kuala Lumpur, semalam.

RAMLI: Terdahulu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada mereka yang beragama Islam. Sudah lama saya tidak buat kenyataan akhbar, jadi saya rasa eloklah sekali-sekala buat sidang akhbar.

Mungkin tuan-tuan dan puan-puan tertanya-tanya siapakah pegawai yang selalu keluar dalam surat khabar mengatakan mempunyai aset sebanyak RM27 juta.

Jadi hari ini saya mengaku bahawa pegawai yang dimaksudkan itu ialah saya. Saya rasa pegawai-pegawai saya pun tertanya-tanya siapa yang dimaksudkan, saya tak malu-malu atau segan beritahu sayalah pegawai yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, saya telah membuat pengisytiharan rasmi kepada pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR). Mengikut rekod, apa yang telah dibuat secara rasmi oleh akauntan, punca pendapatan saya melebihi aset yang saya dapat selama saya bertugas 38 tahun dalam pasukan polis.

Jadi, terpulanglah kepada BPR untuk membuat penilaian. Tetapi nak kata saya memiliki RM27 juta, tidak betullah. Ini rekod.

Jika saya membuat pengisytiharan yang tak betul, itu adalah satu kesalahan. Tetapi notis yang diserahkan kepada saya adalah di bawah Seksyen 32 (1) (a) Akta Pencegahan Rasuah. Notis ini betul-betul sulit antara saya sebagai pegawai yang ditohmah dengan pihak BPR.

Saya tidak tahu bagaimana maklumat ini boleh terkeluar atau ‘bocor’, tapi mengikut laporan akhbar mengatakan sumbernya daripada BPR. Ini satu pelanggaran di bawah Seksyen 21 (4) Akta Pencegahan Rasuah. Perkara seumpama ini tidak sepatutnya dibocorkan, mereka sepatutnya menyiasat saya secara terperinci barulah membuat andaian.

Mengenai tanah yang saya pohon, ini belum tanah saya lagi, kami perlu menjelaskan perkara ini. Tanah yang saya pohon di Sabah, adalah tanah kerajaan. Saya membuat permohonan seperti biasa, seperti orang biasa. Jadi apabila diura-urakan kami nak dapat, saya mendapat kelulusan jabatan saya iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar telah secara lisan membenarkan saya memiliki saham dan menjadi pengarah syarikat.

Syarikat tersebut ialah syarikat persendirian yang kami beli. Untuk makluman, pengarah-pengarahnya ialah saya dan seorang rakan bekas jeneral bersara. Tawaran mengerjakan tanah itu seluas 800 ekar, bermakna 400 ekar kepada saya dan 400 kepada rakan saya itu.

Premium yang kami bayar baru separuh, kami bayar RM500 seekar, jadi bandingkan apa yang dilaporkan dalam surat khabar mengatakan syarikat tersebut adalah syarikat pemaju yang besar adalah palsu semata-mata.

Kalau dikira, cuma RM400,000. Tanah tersebut masih belum kepunyaan saya kerana pertama, kerja ukur tanah belum dijalankan dan geran belum dikeluarkan, jadi tanah tersebut belum hak milik kami lagi.

Bagaimanapun, apa yang berlaku hari ini adalah ekoran saya diberi notis oleh BPR pada 17 Julai 2007.

Untuk makluman, saya telah diarahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk menyiasat kes-kes Ah Long di Malaysia. Saya telah dilantik sebagai pengerusi pasukan khas membanteras ah long di Malaysia. Saya diarahkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum secara bertulis. Jadi saya telah mengarahkan anggota saya untuk menjalankan siasatan dan membuat perkara perlu.

Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan timbul masalah lain yang mana melibatkan kes perjudian. Jadi saya menggunakan kuasa-kuasa yang ada pada pasukan PDRM untuk menjalankan tugas. Tidak semestinya saya bukan orang Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), saya tak boleh siasat kes-kes yang melibatkan kes Ah Long atau perjudian kerana kuasa masih ada dalam tangan saya untuk menyiasat.

Seperti tuan-tuan sedia maklum, JSJK dipisahkan daripada JSJ pada 1 Mei 2005. Jadi kita tak ada lagi Arahan Tetap Ketua Polis Negara, kita baru merangkakan. Jadi kita terpaksa memakai Arahan Tetap Ketua Polis Negara kepada JSJ. Sebab itu kita menggunakan kuasa-kuasa yang ada ke atas seorang personaliti di Johor Bahru.

Bagaimanapun, tiap-tiap pergerakan atau apa-apa yang kita buat, dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Kita diarahkan supaya meneruskan siasatan ke atas penama tersebut. Sehinggalah penama tersebut telah dibuang daerah ke Jeli, Kelantan.

Saya ingin mengedarkan kenyataan akhbar kepada anda. (Beliau kemudian membaca teks penuh kenyataan akhbar itu).

Seperti yang diketahui umum, dua hari lalu, Perdana Menteri menyatakan bahawa kita perlu melindungi pemberi maklumat polis. Saya fikir perlulah kita sebagai polis mempertahankan pemberi maklumat. Itulah pendirian saya.

Soalan: Adakah benar dakwaan khabar angin mengenai peletakan jawatan Datuk?

RAMLI: Tidak, tidak. Saya tidak akan meletak jawatan. Saya tidak perlu meletak jawatan. Saya cuma ada beberapa bulan lagi (sebelum bersara), tiada sebab untuk saya meletak jawatan. Cuma, saya akan mengerjakan umrah pada 3 November, insya-Allah kalau tiada halangan, saya juga menunaikan haji pada 8 atau 9 Disember selama 40 hari.

Adakah BPR sudah bebaskan Datuk dalam siasatan kes ini?

RAMLI: Tidak. Siasatan masih diteruskan. Saya masih menunggu pegawai BPR untuk datang dan interviu saya pada bila-bila masa saja. Saya boleh menjawab segala soalan mereka.

Berulang-ulang dalam surat khabar anda mengatakan itu dan ini (terhadap saya), sekarang saya terbuka. Biar kita terbuka. Sebelum ini, saya perlu berdiam diri kerana kes saya masih disiasat BPR, namun sekarang saya telah membuat pengisytiharan. Saya rasa tidak menjadi masalah untuk membuat lebih kenyataan akhbar.

Adakah semua ini melibatkan Ketua Polis Negara?

RAMLI: Tidak, tidak, tidak sama sekali. Anda semua keliru. Kami hanya menyiasat Goh Cheng Poh berdasarkan maklumat diterima. Itu saja. Ia langsung tiada kaitan dengan Ketua Polis Negara.

Adakah Datuk bermaksud BPR membocorkan maklumat?

RAMLI: BPR tidak boleh sekali-kali membocorkan maklumat siasatan terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan awam. Mereka tidak boleh beritahu kepada siapa-siapa termasuklah pemberita atau media.

Sebab itulah (BPR) tidak adil kepada saya. Belum apa-apa lagi sudah keluar macam itu. Semua orang sudah tahu, orang menuding jari pada saya kononnya saya menerima atau memiliki RM27 juta. Saya fikir tidak adil sebelum disiasat, sudah menghukum saya dan buat andaian.

Bagaimanakah dakwaan terhadap Datuk memberi kesan terhadap kehidupan harian?

RAMLI: Memang. Memang. Kehidupan harian saya amat seksa dalam tiga bulan ini sejak bermulanya siasatan dan tersiarnya laporan akhbar itu. Akhbar tidak mendapatkan penjelasan saya. Mereka membuat kenyataan sesuka hati. Ini tidak adil.

Saya juga seorang insan, saya ada perasaan. Saya mempunyai keluarga. Satu lagi perkara, saya kumpulan pertama bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kami perlu mempertahankan tahap integriti kami. Malu, memang saya malu.

Adakah kes ini dimanipulasikan oleh media?

RAMLI: Saya tak tahu. Saya tidak tahu apa yang perlu diulas. Anda sendiri patut tahu apa yang telah anda lakukan.

Kenapa baru hari ini Datuk membuat kenyataan?

RAMLI: Saya memberi peluang BPR melakukan siasatan penuh terlebih dahulu. Saya mahu berlaku adil kepada mereka. Namun mereka pula yang tidak adil terhadap saya dengan membocorkan segala maklumat.

Bagaimana siasatan terhadap Datuk timbul? Adakah laporan polis dibuat oleh anggota polis sendiri?

RAMLI: Menurut notis kepada saya mengikut Seksyen 32 (1) (a), ia memberitahu bahawa ada satu laporan polis dibuat terhadap saya. Saya terkejut kerana sehingga September 2006, saya bebas daripada sebarang tuduhan rasuah. Sebab itu saya disahkan jeneral tiga bintang (komisioner). Kalaulah saya disiasat sebelum itu, pastilah saya tidak akan mendapat pangkat tersebut.

Tetapi ketika saya hampir menerima Pingat Gagah Pasukan Polis (PGPP), iaitu anugerah tertinggi dan diidam-idamkan dalam pasukan polis, pemberian pingat itu kepada saya telah dibatalkan. Ini kerana difahamkan saya disiasat BPR.

Adakah laporan terhadap Datuk dibuat oleh pegawai bawahan Datuk sendiri?

RAMLI: Itu saya tak pasti. Anda kena tanya BPR?

Bagaimanakah hubungan Datuk dengan Ketua Polis Negara?

RAMLI: Kami berdua amat baik. Kami sangat erat dan tiada masalah antara kami. Kami bekerjasama untuk satu tempoh yang lama. Tiada sebarang masalah dengannya. Kami saling menghormati.

Datuk, adakah Datuk mula disiasat sejak Datuk menyiasat kes Goh Cheng Poh?

RAMLI: Ya, saya percaya begitu. Disebabkan penyiasatan ke atas Goh Cheng Poh, saya pula disiasat. Selepas itu, beberapa pegawai termasuk penterjemah. Yang terbaru dua pegawai dan detektif ditahan serta didakwa.

Mungkinkah siasatan terhadap Datuk bermula selepas pegawai Datuk memulakan siasatan terhadap kes Ah Long?

RAMLI: Entahlah. Saya tak tahu bila BPR mula menyiasat saya. Tapi setahu saya, sehingga September 2006 saya masih bersih daripada segala tuduhan. Kalau tidak, tak mungkin saya disahkan jeneral tiga bintang.

0 comments: