Mengaku disiasat miliki harta RM27j

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Ifwan Tun Tuah dan Irwan Shafrizan Ismail


Datuk Ramli Yusuff

Pengarah JSJ Komersial Bukit Aman pertikai ketelusan BPR

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, semalam mengaku beliau disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa serta memiliki aset bernilai RM27 juta.

Beliau bagaimanapun menafikan pelbagai dakwaan yang dikaitkan dengannya dan mempertikaikan ketelusan proses siasatan BPR.


"Saya kesal kerana dihukum sebelum siasatan selesai. Siasatan ini sepatutnya sulit tetapi maklumat mengenainya bocor. Saya tidak tahu bagaimana benda ini boleh keluar di media. Ini tidak adil kepada saya dan keluarga.

"Belum apa-apa orang sudah tuding jari kepada saya kerana ada RM27 juta. Saya menderita lebih tiga bulan sejak perkara ini didedahkan kepada media. BPR tidak sepatutnya membocorkan maklumat siasatan yang belum selesai. Ia melanggar Seksyen 21 (4) Akta BPR sendiri kerana mendedahkan maklumat sulit," katanya pada sidang media khas di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sini.

Selain didakwa memiliki aset RM27 juta, Ramli dikatakan menjadi pengarah sebuah syarikat tanpa kebenaran. Kes yang disiasat BPR sejak Julai lalu itu, mendapat liputan meluas tetapi nama Ramli tidak pernah disiarkan media.


Ramli mendakwa walaupun namanya tidak disiarkan, umum mengetahui bahawa beliau adalah pegawai kanan Bukit Aman yang dirujuk dalam laporan yang disensasikan media.

Katanya, beliau tidak memiliki harta sebanyak itu dan sudah mengisytiharkan harta secara rasmi kepada BPR.

"Mengikut perkiraan akauntan bertauliah, sumber pendapatan saya melebihi aset yang dimiliki selama 38 tahun bertugas dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Mengenai tanah seluas 800 ekar yang dipohon di Sabah, Ramli menjelaskan ia adalah tanah kerajaan dan permohonan itu dibuat menerusi syarikat miliknya dan seorang rakan mengikut prosedur biasa.

"Saya mendapat kelulusan lisan daripada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Bakri Omar untuk memiliki saham dan menjadi pengarah syarikat terbabit," katanya sambil menambah, tanah itu dibeli pada harga RM500 seekar dan masih belum mendapat geran.

Mengenai penahanan dan pendakwaan beberapa pegawai jabatannya kerana didakwa memalsukan kenyataan saksi sehingga menyebabkan seorang ahli perniagaan dari Johor dibuang daerah ke Jeli, Kelantan kerana dikaitkan dengan kegiatan along dan perjudian haram, Ramli mendakwa jabatan itu tidak dilayan dengan adil oleh BPR.

"Saya menerima arahan terus dari Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum tahun lalu supaya memerangi kegiatan sindiket jenayah di Johor yang membabitkan beberapa Datuk dan Jaksa Pendamai (JP).

"Siasatan itu membawa kepada penahanan ahli perniagaan terbabit dan keputusan Timbalan Menteri untuk mengenakan tindakan buang daerah dibuat berdasarkan maklumat risikan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

"Walaupun laporan akhbar selepas itu menyebut siasatan BPR dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terhadap lelaki terbabit mendapati dia bersih, ia pastinya tidak termasuk siasatan kita (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial)," katanya.

Ramli turut mempertikaikan tindakan BPR mendedahkan identiti pemberi maklumat sulit polis dalam kertas pendakwaan berhubung kes memalsukan kenyataan saksi.

"Adalah jelas ia membahayakan keupayaan pasukan polis dalam mengumpul maklumat serta melindungi sumber kita.

"Perkara ini memberi kesan mendalam terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan polis secara keseluruhan. Pegawai jabatan ini tidak dilayan dengan adil oleh BPR dan tidak dilindungi oleh pasukan mereka sendiri," katanya.

Mengenai khabar angin beliau akan meletak jawatan, Ramli berkata: "Kenapa perlu saya meletak jawatan? Saya mempunyai beberapa bulan lagi sebelum bersara."

Beliau turut menegaskan, hubungannya dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga baik dan tiada masalah.

Sementara itu, Musa yang ditemui enggan mengulas mengenai kenyataan Ramli atau siasatan kes berkenaan.

"Saya tidak boleh komen apa-apa, ini bukan siasatan kita," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada Persidangan Undang-Undang Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan pegawainya selepas Ramli menafikan dakwaan itu, Musa berkata: "Saya tidak tahu, itu apa yang beliau kata. Ini siasatan agensi lain (BPR), tanyalah pihak berkuasa yang berkaitan."

Musa juga mengaku memang wujud perbezaan pendapat antara beliau dengan Ramli, tetapi menjelaskan mereka masih saling berjumpa.

"Adakah berbeza pendapat itu kamu anggap ada keretakan hubungan?" katanya yang enggan mengulas mengenai kenyataan Ramli yang kecewa bagaimana maklumat siasatan BPR boleh diketahui media.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditemui pemberita pada majlis pelancaran sebuah buku di sini, pula berkata beliau berpuas hati dengan siasatan BPR berhubung kes itu.

"BPR dan polis menjalankan siasatan yang bagus dan melaksanakan tugas dengan baik. Mereka sudah selesai menjalankan siasatan kes itu.

"Kertas siasatan diserahkan terus kepada saya untuk diteliti dan sekiranya ada penambahan siasatan, kita akan beri semula kepada BPR, tapi untuk peringkat sekarang, saya rasa kertas siasatan sudah lengkap," katanya.

Abdul Gani berkata, kertas siasatan itu diteliti bersama beberapa pegawainya kelmarin dan perbincangan akan diadakan sebelum tindakan lanjut diambil.

0 comments: