Angkasawan negara akan jalani latihan penerbangan

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan calon angkasawan, Mejar Dr. Faiz Khaleed bakal menjalani latihan mengendalikan pesawat angkasa di Rusia tidak lama lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata, perkara itu penting bagi membuktikan kepada umum bahawa kedua-kedua mereka layak diiktiraf dunia sebagai kosmonaut.

‘‘Selain itu, pengiktirafan tersebut penting untuk mengenepikan pandangan sinis sebelum ini yang berpendapat mereka hanyalah peserta ekspedisi angkasa,’’ kata Jamaludin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tahlil dan kenduri arwah adik Muszaphar di Petaling Jaya dekat sini malam ini.

Turut hadir, Faiz dan Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh.

Jamaludin berkata, mereka akan ke Rusia minggu depan bagi mendapatkan sijil pengiktirafan mereka sebagai angkasawan daripada pihak negara berkenaan.

Beliau menambah, kementerian juga akan membuka peluang kepada wanita untuk menjejakkan kaki ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

‘‘Faiz pula Insya-Allah akan dijadualkan ke ISS pada 2010 atau 2011,’’ tambah beliau.

Katanya, pemilihan angkasawan ketiga pula akan dibuka tahun depan.

Mengenai jadual Sheikh Muszaphar, beliau berkata, dia dibenarkan berehat di rumah bersama keluarganya sehingga Rabu ini.

Katanya pada hari Khamis, Sheikh Muszaphar akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diikuti pada hari Jumaat bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, ia diatur bagi memberi peluang kepada Sheikh Muszaphar menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada kedua-dua pemimpin utama negara tersebut.

Tambahnya, Sheikh Muszaphar akan ke Parlimen pada Isnin depan bagi berjumpa dengan wakil-wakil rakyat.

Sementara itu, Sheikh Muszaphar kelihatan masih lagi sugul dengan kematian adiknya.

Ketika ditemui pemberita, Sheikh Muszaphar memberitahu dia mendedikasikan gelaran angkasawan yang diterimanya itu kepada arwah adiknya, Sheikh Mustafa Shukor Al-Masrie.

Menurutnya, dia yakin adik yang dipanggilnya ‘Ajil’ gembira dengan gelaran angkasawan tersebut dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat.

Menurutnya, sejak kecil beliau dan adiknya memang berminat mengenai hal-hal angkasa lepas.

Sheikh Mustafa meninggal dunia tiga hari lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas koma sejak 21 Oktober lalu kerana terlanggar tiang dan terhantuk pasu bunga sewaktu memasuki sebuah restoran di Jalan Klang Lama, di sini.

0 comments: