PM pertahan ketegasan BPR atasi kes seleweng

Oleh Ahmad Ghazali Musa, Sariha Mohd Ali, Rosli Abd Jalil dan Suzianah Jiffar

Tindakan agensi susulan Laporan Ketua Audit Negara 2006

KUANTAN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi kepercayaan penuh kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk mengheret mereka yang terbabit dalam penyelewengan ke muka pengadilan seperti yang didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin dengan kemampuan BPR melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan profesional.

"Biar BPR buat kerja, dia tahu buat kerja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Peringkat Pahang dan Daerah Mersing, Johor di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini, semalam.


Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi dan lebih 15,000 tetamu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mahu BPR bukan setakat menangkap 'ikan bilis', malah mengheret 'jerung' yang terbabit dalam penyelewengan seperti didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen, kelmarin, Pengerusinya, Datuk Shahrir Samad menggesa kerajaan menyenaraihitamkan syarikat pembekal yang terbabit dalam kes salah urus dana awam itu.


Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri yang turut diminta mengulas mengenai kerajaan di bawah kepemimpinan beliau yang genap masuk tahun keempat hari ini berkata: "Alhamdullilah sampai empat tahun."

Di KOTA KINABALU, Pengarah BPR Sabah, Latifah Mohd Yatim, berkata beberapa kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana awam di beberapa daerah di negeri ini sedang disiasat dan berada dalam pemerhatian pihaknya.

"Kita menyiasat beberapa kes berkaitan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri BPR di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Likas di sini, semalam.

Pada 23 Oktober lalu, lima termasuk tiga wanita dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan mengeluarkan baucar pembayaran Skim Bantuan Orang Tua antara 2005 hingga 2006 bagi penerima yang sudah meninggal dunia antara 2003 hingga 2006.

Latifah berkata, 51 individu di Sabah ditahan BPR sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

"Daripada jumlah itu, tujuh adalah kumpulan profesional, kumpulan sokongan (26) dan orang awam (18)," katanya.

0 comments: