Laksana bahasa Inggeris bukti menteri Melayu tidak patriotik

Saidah Hairan
Wed | Oct 31, 07 | 5:03:47 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - Keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains hingga kajian menyeluruh selesai dalam tempoh tiga tahun menunjukkan ramai Menteri Melayu tidak patriotik dan tidak layak menjadi pemimpin negara.

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia boleh digunakan di sekolah kebangsaan termasuk sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).

Ekoran pengumuman itu, ahli politik dan akademik sepakat menegaskan penggunaan bahasa Melayu dalam mata pelajaran Matematik dan Sains tidak perlu ditangguhkan sebaliknya wajar dikembalikan penggunaannya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh melahirkan kebimbangan jika penangguhan pelaksanaan bahasa Inggeris itu disebabkan kerajaan Umno mahu 'menggula-gulakan' rakyat untuk mendapatkan sokongan dalam pilihan raya umum nanti.

Menurut beliau, sebenarnya pemimpin Umno sedar apa yang mereka lakukan tidak disenangi rakyat sebaliknya mendapat bantahan di kalangan ahli Umno sendiri.

Beliau mempersoalkan kenapa baru sekarang Hishamuddin mahu membuat kajian menyeluruh sedangkan kajian patut dilakukan di peringkat awal sebelum dilaksanakan.

Menurutnya, bagaimana rakyat yang terdiri daripada bangsa Melayu boleh mengharapkan pimpinan Umno berusaha mendaulatkan bahasa Melayu.

"Sedangkan dalam masa yang sama mereka banyak membuat pengiraan bersandarkan politik dan perniagaan bagi menjaga kepentingan kroni dan poket masing-masing," tegas beliau.

Nuridah mewakili wanita seluruh negara mengingatkan kerajaan supaya serius untuk mengkaji semula dan jangan hanya membuat propaganda pilihan raya sahaja.

Sementara itu, Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. Dr Awang Sarian berharap bukan sahaja penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik perlu ditangguhkan, tetapi wajar dikembalikan pada dasar yang asal.

Menurut beliau, pengajaran dan peperiksaan matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu perlu ditingkatkan selaras dengan Akta Pendidikan.

Beliau berkata, pada saat ini selepas kira-kira lima tahun berlangsung PPSMI (pengajaran dan pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris), semestinya Kementerian Pelajaran telah membuat kajian yang tuntas (lengkap) dan menilai baik buruknya dasar tersebut.

Menurut beliau, Persatuan Linguistik Malaysia berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan tetap berpendirian bahawa Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu perlu dikekalkan.

Seorang guru bahasa Melayu, Azrin Abd Majid berkata, sebagai seorang guru yang mendukung pendidikan nasional, mereka mesti cintakan bahasa, bangsa, budaya dan tanah air.

"Jika mereka tidak mempunyai sikap mencintai bahasa, bangsa dan budaya seolah-olah mereka tidak mempunyai sikap patriotrik tetapi hipokrit dan pengkhianat kepada bangsa dan bahasa mereka," tegasnya.

Menurut beliau, mereka yang tidak mempunyai sikap patrotrik dan hipokrit tidak layak menjadi pejuang bahasa dan bangsa dan orang seperti itu perlu digugurkan daripada menjadi pemimpin negara.

Beliau menjelaskan hubungan bahasa Melayu dengan bahasa al-Quran seperti 'adik beradik kembar' kerana tulisan asal bagi bahasa Melayu ialah tulisan Jawi manakala huruf Jawi itu diambil daripada al-Quran.

"Kerajaan tidak ada alasan untuk tidak mengembalikan penggunaan bahasa Melayu supaya digunakan terus dalam mata pelajaran Matematik dan Sains," tegasnya.

Menurut beliau, kerajaan akan menjimatkan wang negara jika pelaksanaan bahasa Inggeris ditangguhkan kerana setiap kali guru-guru menjalani kursus bahasa Inggeris kerajaan telah mengeluarkan kos yang terlalu tinggi.

"Kerajaan telah melakukan satu kesilapan besar dalam sistem pendidikan negara kerana menukar bahasa bukan seperti kita menukar pakaian," tegas beliau./tajdid

0 comments: