Agensi tani perlu berubah sebelum ubah petani

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

SEREMBAN 30 Okt. – Kakitangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensi di bawahnya perlu membuat perubahan terlebih dahulu sebelum mengharapkan perkara sama dilakukan oleh petani.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kementerian itu perlu melatih semua kakitangan itu untuk menjadi ejen perubahan supaya dapat menjayakan dasar yang dirancang oleh kerajaan.

“Pelaksana dasar itu wajib melakukan perubahan dahulu sebelum ia disampaikan kepada petani,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 yang berakhir Ahad lalu berkata, perkara itu adalah antara yang diberikan penekanan pada konvensyen itu.

Malah, katanya, ia dimasukkan sebagai resolusi yang akan dihantar ke Majlis Tertinggi UMNO untuk dibincangkan sebelum dijadikan dasar.

“Resolusi ini amat penting dan bertepatan dengan masa tetapi yang penting sekali ialah pelaksanaan resolusi berkenaan. Apabila ia menjadi Dasar Pertanian Negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, maka ia akan menjadi penting,” kata beliau.

Mohamad memberitahu, dalam usaha menjadi ejen perubahan, konvensyen itu turut mencadangkan penubuhan Institut Teknologi Pertanian kerana ia merupakan satu keperluan bagi menyediakan tenaga kerja dalam sektor pertanian yang berpengetahuan luas.

“Ilmu dalam pertanian amat penting kerana pertanian bukan seperti dahulu. Kita kena gunakan teknologi dan kaedah saintifik. Ilmu untuk menjadi peniaga tani juga perlu. Kita bukan sekadar bertani tetapi juga mengambil kira untung dan rugi. Bukan tanam sahaja dan lepas itu dibiarkan begitu,” kata beliau.

Sehubungan itu, kata beliau, hasil konvensyen itu perlu digarap dengan sebaik-baiknya kerana pihaknya tidak mahu ia hanya tinggal konvensyen dan polisi pula hanya tinggal begitu sahaja tanpa ada tindakan yang bersungguh-sungguh.

Secara keseluruhan, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berpuas hati dengan perjalanan konvensyen itu dan sambutan baik yang diberikan oleh semua pihak.

“Saya yakin sektor pertanian akan dapat dilonjakkan jika semua resolusi itu dilaksanakan dengan berkesan,’’ katanya.

Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 dianjurkan oleh Biro Pertanian UMNO Malaysia bersama Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan penutupannya dilakukan oleh Timbalan beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak.

0 comments: