Majlis Raja-Raja bincang kedudukan Ahmad Fairuz

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Majlis Raja-Raja Ke-212 yang bersidang esok akan membincangkan kedudukan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang dijadualkan bersara wajib esok.

Mesyuarat selama dua hari itu akan memutuskan sama ada beliau terus bersara atau tempoh jawatannya disambung selama enam bulan lagi.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke mesyuarat itu yang akan diadakan di Istana Negara.

Hingga hari ini, kedudukan Ahmad Fairuz yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan masih menjadi tanda tanya ekoran beliau kini menghabiskan cuti tahunannya yang masih berbaki sebanyak 90 hari.

Isu tempoh pemegangan jawatan dan persaraan Ketua Hakim Negara termaktub di bawah Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ia menyatakan bahawa seseorang Hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai umur 65 tahun atau sehingga satu masa yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi jangka masa itu tidak boleh melebihi tempoh enam bulan selepas mencapai umur tersebut.

Ini bermakna, Ketua Hakim Negara hanya mempunyai dua pilihan sama ada bersara wajib atau dilanjutkan tempoh perkhidmatannya selama enam bulan lagi.

Dalam jangka masa itu, beliau tidak akan mendengar perbicaraan mana-mana kes sebaliknya masa yang ada itu akan diisi untuk menyiapkan alasan penghakiman dan membereskan tugas-tugas pejabat yang belum selesai.

Ahmad Fairuz yang dilahirkan pada 1 November 1941 memulakan tugas di dalam badan kehakiman sebagai Majistret pada 1 Jun 1967 di Pulau Pinang.

Dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesyen, Kuantan, Pahang diikuti sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Johor dan Kuala Lumpur beberapa tahun kemudian.

Beliau turut menimba pengalaman sebagai Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penasihat Undang-undang Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri Kedah/Perlis dan Timbalan Penggubal Undang-undang, Jabatan Peguam Negara.

Pada 1 Disember 1988, Ahmad Fairuz dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman diikuti sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Ogos 1990.

Lima tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan (1 September 2000), Hakim Besar Malaya (1 September 2001), Presiden Mahkamah Rayuan (1 Disember 2002) dan Ketua Hakim Negara (17 Mac 2003).

0 comments: