Brazil tuan rumah Piala Dunia 2014

ZURICH: Brazil, pembida tunggal yang menawarkan diri sebagai penganjur, secara rasmi diumumkan sebagai tuan rumah pusingan akhir Piala Dunia 2014 oleh Presiden FIFA, Sepp Blatter, malam tadi.

Blatter mengumumkan Brazil sebagai gelanggang selepas calon tunggal itu menamatkan pembentangan penawaran mereka kepada jawatankuasa eksekutif FIFA yang turut dihadiri Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Juara dunia lima kali itu pernah menjadi tuan rumah sekali sebelum ini, pada 1950, apabila mereka tewas 2-1 kepada Uruguay dalam perlawanan akhir di depan hampir 200,000 penonton di Stadium Maracana, Rio de Janeiro.


Pengubahsuaian lengkap terhadap gelanggang raksasa di negara itu adalah kunci utama dalam tawaran Brazil 2014. Gergasi bola sepak Amerika Selatan itu berjanji satu perjalanan Piala Dunia yang mesra alam.

Ricardo Teixeira, Presiden Konfederasi Bola Sepak Brazil, berkata menjadi tuan rumah Piala Dunia adalah ‘satu kegembiraan dan pencapaian bersejarah bagi negara dan rakyat Brazil, yang akan memberi kesan kepada bidang sosial dan ekonomi’.

“Piala Dunia ini akan memahat satu legasi dengan peningkatan terhadap pengangkutan, kesihatan, sistem pembetungan dan air serta keselamatan,” katanya.

Turut berada di pentas adalah gabenor wilayah Amazon, Eduardo Braga, yang berjanji akan menyumbang pembangunan berterusan dan membantu rakyat serta pengekalan warisan alam sekitar.

Presiden UEFA Michel Platini turut mengalu-alukan pemilihan Brazil itu dengan berkata: “Brazil adalah negara yang sudah banyak menyumbang terhadap bola sepak, negara bola sepak terbesar dunia yang paling banyak menjuarai Piala Dunia. Piala Dunia di Brazil adalah ibarat menunaikan haji ke Makkah... atau Baitulmaqdis.” – AFP

0 comments: