Kenaikan harga makanan berasaskan tepung jangan melampau - Dr Mariah

Roy Rasul
Tue | Oct 30, 07 | 5:38:45 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS, Dr Mariah Mahmud berkata cadangan menaikkan harga roti canai sehingga lapan puluh sen sekeping adalah melampau.

Katanya, walaupun dari segi psikologinya peniaga terpaksa menaikkan harga tersebut disebabkan harga tepung naik namun kenaikannya perlu berpatutan.

Sebaliknya, katanya apa yang berlaku peniaga lebih banyak mengambil kesempatan daripada kenaikan tersebut.

Di Pulau Pinang semalam Persatuan Restoran Islam Pulau Pinang bercadang untuk menaikkan harga makanan berasaskan tepung seperti roti canai, capati, bihun dan mee berikutan kenaikan harga tepung.

Sehubungan itu, Dr Mariah yang dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, kerajaan perlu kaji harga yang dicadangkan itu.

"Perkara seperti ini kerajaan kena serius memantaunya agar para peniaga tidak mengambil kesempatan kerana harga yang dinaikkan itu sepatutnya adalah menampung kos yang mereka tanggung saja," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengguna juga kena bijaksana, antaranya tidak lagi bersarapan di luar sebaliknya makan di rumah ataupun membawa bekal.

Katanya, jika semua orang mengamalkan makan di luar peniaga tidak akan berubah sikap dan menganggap bahawa pengguna bersetuju dengan kenaikan yang dilakukan mereka.

"Saya rasa jika pengguna berbuat demikian peniaga akan tertekan dan ia memberi kesan besar kepada mereka," katanya.

Malah katanya bukan saja roti canai tetapi barangan lain pun perlu dilaku seperti itu.

Sementara itu beliau berkata, selagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berada di bawah satu kementerian selagi itu kepentingan pengguna tidak terbela.

Ini katanya, kerajaan dilihat gagal untuk menangani kepentingan pengguna kerana dikongkongi konflik kepentingan khasnya di pihak pengusaha dan pelabur.

"Apabila kementerian tersebut terpaksa menjaga dua pihak yang berlainan bagaimana mereka hendak memihak dengan adil, lagi pun mereka sepatutnya mewujudkan satu prinsip yang tidak memihak kepada mana-mana pihak," katanya.

Ini katanya apabila kementerian tersebut menjaga dua pihak iaitu pedagang dan pengguna mereka seolah-olah menggunakan khidmat satu peguam untuk menyelesaikan sesuatu kes. - mns

0 comments: