Nurin Alert sistem pantas kesan budak hilang

Oleh Siti Nur Almizan Aripin

KUALA LUMPUR: Sistem amaran khas yang bertindak lebih pantas menyamai Amber Alert atau Nurin Alert bagi menangani kes kehilangan kanak-kanak adalah antara kandungan draf Dasar Perlindungan Kanak-kanak (CPP) yang akan dibentang pada Kabinet, tidak lama lagi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, berkata sistem berkenaan dirangka berikutan banyak aduan dan cadangan diterima daripada pelbagai pihak selepas berlaku kejadian penculikan dan pembunuhan kejam terutama membabitkan kes Nurin.

Katanya, kementerian berusaha memperbaiki sistem keselamatan sedia ada dan menyifatkan prosedur siasatan selepas 24 jam laporan polis dibuat dalam kes kehilangan kanak-kanak adalah terlalu lambat dan perlu dipercepatkan.

Di Amerika Syarikat, Amber Alert ialah sistem amaran bagi mengesan kes kehilangan kanak-kanak berdasarkan rangkaian integrasi maklumat yang ditubuhkan dengan kerjasama agensi kerajaan, orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Manakala Nurin Alert atau Nationwide Urgent Response Information Network (Rangkaian Maklumat Tindak Balas Segera Kebangsaan) adalah sistem amaran tempatan diusahakan penulis blog yang bersimpati dengan kematian Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Shahrizat berkata, mengikut prosedur biasa, kes membabitkan kehilangan kanak-kanak masih di dalam bidang kuasa polis. Bagaimanapun, kementerian sedang berusaha memperbaiki sistem sedia ada.

"Kementerian berhasrat menjadikan mekanisme itu sebagai sistem khas atau alternatif dalam mengesan dan memberi amaran awal jika ada kes kanak-kanak hilang," katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat dan Penyampaian Cek kepada Pengerusi Nadi 2007, di sini semalam.

Beliau berkata, sistem itu sudah disertakan dalam kertas cadangan CPP yang kini berada pada peringkat terakhir sebelum dibentang pada mesyuarat Kabinet.

Sebelum itu, Shahrizat melancarkan Program Nadi 2007, sebuah jentera pembangunan sosial di peringkat akar umbi bertujuan menangani gejala sosial secara bersepadu dengan lebih berkesan.

"Nadi 2007 penting bagi memastikan pembangunan masyarakat Dasar Sosial Negara (DSN) menggunakan kaedah pemetaan sosial membabitkan 576 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 kawasan Parlimen," katanya.

Beliau turut menyampaikan taklimat dan peruntukan kepada setiap pengerusi Nadi sebanyak RM10,000 sebagai bantuan awal untuk setiap kawasan terbabit.

Sementara itu, Shahrizat turut memandang serius masalah dihadapi Siti Nadzirah Mohd Nasir, 20, ibu muda yang dalam proses mendapatkan hak penjagaan anaknya di mahkamah Pakistan.

"Wanita itu wajar mendapat pembelaan dan saya sendiri berhasrat mendengar sendiri masalah dihadapinya sebelum dapat menentukan jenis bantuan yang boleh diberikan," katanya.

Kelmarin, Siti Nadzirah melahirkan hasrat menemui Shahrizat selepas tiba dari Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Diminta mengulas kes kehilangan seorang budak perempuan yang dilarikan dua lelaki selepas melanggar dan melarikan kereta Toyota Unser milik ibunya ketika dalam perjalanan ke pusat asuhan di Taman Jasmin, Kajang pagi kelmarin, Shahrizat berkata, beliau bersyukur kerana kanak-kanak itu ditemui semula dalam keadaan selamat dua jam kemudian.

Dalam kejadian itu, Nursakinah Mohd Saparudin, 5, ditemui selamat di Stesen Komuter Kajang oleh seorang guru yang kebetulan ternampak sebuah Proton Perdana hitam meninggalkan mangsa di situ kira-kira jam 9 pagi.

0 comments: