Pegawai BPR di setiap agensi kerajaan

PEKAN 3 Nov. – Kerajaan sedia menempatkan pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) di lebih banyak jabatan, agensi dan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) terutama yang berurusan dengan orang ramai memandangkan kaedah itu ternyata berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penempatan pegawai BPR akan memastikan semua urusan dilakukan dengan amanah dan yakin kaedah itu memberikan kesan yang besar kepada keuntungan GLC serta agensi-agensi kerajaan terlibat.

Ujar beliau, tidak ada salahnya pegawai BPR ditempatkan di GLC seandainya ia boleh membawa pulangan hasil berjuta ringgit kepada kerajaan setiap tahun.

Menurutnya, jika kaedah itu berjaya, bermakna pulangan yang diterima adalah lebih menguntungkan berbanding dengan perbelanjaan yang perlu ditanggung untuk menempatkan pegawai BPR di jabatan, agensi atau GLC.

“Tidak semua GLC (perlu pegawai BPR) tetapi yang penting GLC yang ada urusan dengan orang ramai terutama sekali kaunter perkhidmatan urusan pembayaran dan sebagainya.

“Jadi, kalau dengan menempatkan dua atau tiga orang pegawai dan hasil melonjak beberapa juta, bererti bahawa itu satu pelaburan yang memberi keuntungan yang besar,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan beg perjalanan pada Majlis Meraikan Bakal-Bakal Haji Parlimen Pekan, di sini hari ini.

Najib mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed bahawa ada agensi kerajaan berjaya meraih keuntungan dalam tempoh yang singkat selepas BPR menempatkan pegawai mengawasi agensi itu.

Abu Kassim memberi contoh, pemantauan selama dua tahun di Amanah Raya Berhad telah membolehkan agensi tersebut meraih keuntungan daripada RM3 juta pada 2004 kepada RM19 juta pada 2005 dan RM40 juta pada 2006.

Najib menambah, kawal selia terhadap urusan yang berhubung dengan orang ramai masih perlu dilakukan untuk menjamin bahawa tidak berlaku sebarang kepincangan ataupun penyelewengan.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan tindakan lanjut berhubung hal itu kepada BPR dan kerajaan sedia memberikan bantuan yang diperlukan.

0 comments: