Budak mati jatuh kondo mangsa rogol

Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Ifwan Tun Tuah

Laporan forensik dapati mangsa turut diliwat

KUALA LUMPUR: Punca kematian seorang budak perempuan berusia sembilan tahun yang sebelumnya dikatakan terjatuh dari tingkat sembilan amat mengejutkan apabila dia dipercayai dicampak dari tingkat dua selepas dirogol, liwat selain kecederaan teruk di badan dan kepala.

Preeshena Varshiny, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan St Mary, Selayang, ditemui mati dalam longkang di Kondominium Casamila Tower, Batu Caves, dekat sini Khamis lalu kira-kira jam 4 petang, oleh seorang pengawal keselamatan yang meronda di kawasan berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis.

Difahamkan, mangsa ditemui berpakaian lengkap, namun tidak berseluar dalam, dan polis turut menemui kunci rumahnya di tempat kejadian.

Sumber memberitahu Berita Minggu, kes itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, tetapi diubah kepada pembunuhan selepas laporan forensik mendapati kematian mangsa mempunyai unsur jenayah, termasuk kesan rogol dan liwat.

"Mulanya, mangsa dipercayai mati akibat terjatuh dari unit kediamannya di tingkat 9 kondominium itu, tapi kes diklasifikasikan semula sebagai pembunuhan selepas bedah siasat mendapati ada unsur jenayah di sebalik kematiannya.

"Ini termasuk kecederaan teruk pada kepala, tangan kanannya patah, lebam pada dada dan belakang badan mangsa, selain kesan dirogol dan liwat," katanya.

Sumber berkata, mangsa dipercayai tinggal berseorangan di rumahnya sebelum kejadian itu kerana ibu bapanya, masing-masing pegawai kerajaan dan kakitangan swasta keluar bekerja.

"Polis tidak menemui sebarang kesan pecah masuk di rumah mangsa, malah pintu rumah itu berkunci ketika kejadian," katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kejadian jenayah berkenaan tidak berlaku di situ, sebaliknya di sebuah rumah kosong di tingkat 2, kondominium sama, milik seorang wanita Cina, sebelum dicampak ke dalam longkang tempat mayatnya ditemui.

"Mangsa dipercayai masih hidup ketika dicampak, tetapi mati tidak lama kemudian akibat cedera parah. Polis turut mendapati tingkap belakang rumah kosong itu terbuka, dipercayai digunakan penjenayah terbabit untuk mencampak mangsa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Mohd Abdullah, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

"Kita sedang menyiasat kes ini dari segala aspek. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta segera menghubungi polis," katanya.

0 comments: