Musharraf isytihar darurat



KAWALAN KETAT: Polis Pakistan menghalang jalan menuju Rumah Presiden di Islamabad selepas darurat diisytiharkan.

Tindakan berikutan spekulasi kemenangan dalam pilihan raya dibatal

ISLAMABAD: Presiden Pervez Musharraf mengisytiharkan darurat di Pakistan semalam, dan berkata hakim campur tangan dalam urusan kerajaan dan militan Islam memberikan ancaman kepada negara.

Tujuh hakim Mahkamah Agung segera menolak perintah itu, yang menggantung Perlembagaan sedia ada tetapi kerajaan menolak keputusan berkenaan. Kerajaan juga menghalang siaran berita stesen televisyen persendirian di beberapa bandar raya dan perkhidmatan telefon di Islamabad dipotong.


“Panglima angkatan tentera mengisytiharkan darurat dan mengeluarkan arahan Perlembagaan sementara,” kata pembaca berita stesen televisyen kebangsaan.

Stesen televisyen persendirian, Geo, melaporkan tujuh hakim menolak perisytiharan itu dan mengarahkan pegawai atasan termasuk Perdana Menteri dan pegawai tentera tidak mematuhinya.

Stesen televisyen juga melaporkan, Ketua Hakim Mahkamah Agung, Iftikhar Muhammad Chaudhry, yang cuba disingkirkan Musharraf Mac lalu, diberitahu khidmatnya 'tidak lagi diperlukan.'


Pasukan separa tentera dan polis mengepung Mahkamah Agung di Islamabad, yang dijangka memberikan keputusan mengenai kesahihan kemenangan Musharraf dalam pilihan raya presiden 6 Oktober lalu dalam masa beberapa hari lagi.

Musharraf, sekutu kuat Amerika Syarikat yang berkuasa selepas melancarkan rampasan kuasa pada tahun 1999, kini mungkin akan menangguhkan pilihan raya umum dijangka diadakan Januari ini yang dilihat sebagai langkah penting menjadikan Pakistan ke arah demokrasi awam sepenuhnya.

Presiden itu, bertelagah dengan Mahkamah Agung selama beberapa bulan dan menteri memberi petanda darurat mungkin dilaksanakan jika perintah kemenangannya dibatalkan.

Perintah itu juga berkemungkinan menggoyangkan perjanjian perkongsian kuasa dengan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto dan Musharraf.

Musharraf turut melantik Ketua Hakim baru semalam selepas mengisytiharkan darurat, kata jurucakap kerajaan.

Kerajaan menggantikan Chaudhry, yang dianggap sebagai duri di pihak kerajaan, dengan Hameed Dogar.

"Hameed Dogar mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim oleh Musharraf menurut arahan Perlembagaan sementara baru," katanya.

Sementara itu, peguam terkenal Pakistan dan tokoh pembangkang, Aitzaz Ahsan, berkata dia ditahan selepas Musharraf membuat pengumuman itu. – AFP/AP/Reuters

0 comments: